Mangsa taufan terima sumbangan

Mangsa taufan terima sumbangan

Oleh Pg Fairol RMF

BANDAR SERI BEGAWAN, 12 Okt – Beberapa orang pelajar yang menjadi mangsa taufan Chan-Hom pada Julai lalu, mendapat perhatian Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, apabila pihak jabatan menghulurkan sumbangan derma dalam majlis yang diadakan di Sekolah Menengah (SM) Awang Semaun, hari ini.

Hadir menyerahkan sumbangan kepada para pelajar berkenaan, yang menuntut di Sekolah Rendah (SR) Sungai Kebun dan SM Awang Semaun, ialah Pegawai Tugas-tugas Khas Kanan (Korporat), Jabatan Sekolah-sekolah, Kementerian Pendidikan, Haji Azis bin Haji Nayan.

Sumbangan derma dalam bentuk wang tunai itu merupakan hasil kutipan daripada pegawai-pegawai dan kakitangan di Jabatan Sekolah-sekolah, sekolah-sekolah menengah dan sekolah-sekolah rendah dari Kluster 2.

Ia merupakan sebagai tanda prihatin dan simpati terhadap musibah yang menimpa pelajar-pelajar berkenaan.

Haji Azis ketika menyerahkan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.
Haji Azis ketika menyerahkan sumbangan derma kepada salah seorang penerima.

Awang Kifli bin Matussin dan isteri beliau, Dayang Saunah binti Tuah selaku ibu bapa kepada empat orang murid SM Awang Semaun yang juga penerima sumbangan derma mangsa taufan tersebut, menceritakan semula kejadian pada 10 Julai lalu.

Menurut Awang Kifli, pada waktu petang hari Jumaat selepas azan Asar, angin kencang mula menggegarkan rumah mereka, di Kampung Lurong Dalam, yang bertiangkan kayu sehinggakan kesemua anak mereka mula rasa takut dan keluar rumah sambil memindahkan barangan yang sempat untuk dipindahkan.

“Selepas angin mula menggoncang rumah kami lebih tujuh minit, saya yang masih di dalam rumah tidak ada pilihan lain untuk menyelamatkan rumah tersebut dan mula melompat keluar rumah terjun ke dalam air. Semasa kejadian pahit itu kami sekeluarga hanya boleh melihat rumah kami roboh,” katanya.

Sejak itu, mereka terpaksa tinggal di tempat penginapan sementara di Kompleks Jabatan Belia dan Sukan dan bercadang untuk menyewa tempat tinggal mengikut kemampuan mereka.

Beliau juga ingin menyampaikan rasa terima kasih kepada pihak-pihak berkenaan iaitu dari Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah, Jabatan Pembangunan Masyarakat, sekolah-sekolah, pihak swasta dan para individu yang telah menyumbangkan derma berupa wang tunai dan juga barangan keperluan.

ARTIKEL YANG SAMA