Mangsa tragedi pelanggaran bot di Tuaran ditemui

Mangsa tragedi pelanggaran bot di Tuaran ditemui

TUARAN, 13 Mac (Bernama) – Seorang lagi mangsa ditemui lemas, menjadikan enam orang terkorban dalam kejadian pelanggaran dua bot di Sungai Serusup dekat Panimbawan, di sini, malam tadi.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tuaran ASP Raji Hussin Suhodin berkata mayat Wong Vun Chong, 47, ditemui berhampiran lokasi kejadian, pada kira-kira 8.30 pagi tadi.

“Dalam kejadian kira-kira 10.30 malam itu, seramai 30 penumpang dilapor menaiki kedua-dua bot berkenaan dan seramai 24 orang terselamat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Lima mangsa yang disahkan meninggal dunia oleh Hospital Tuaran sebelum ini ialah Saloma Maid, Norkasih Salim, Aziah Maidin, Ainol Hasnom dan Nurul Azda.

Menurut Raji Hussin, siasatan awal mendapati pelanggaran bot itu berlaku disebabkan kedua-duanya tidak dilengkapi ciri keselamatan.

“Kedua-dua bot itu kemungkinan tidak mempunyai lampu dan semua penumpang tidak dibekalkan dengan jaket keselamatan,” katanya.

Menurut beliau, salah sebuah bot yang dinaiki 20 penumpang itu sedang dalam perjalanan dari Serusup ke kampung Panimbawan untuk menghadiri majlis perkahwinan di kampung berkenaan.

Katanya, bot malang itu telah berlanggar dengan sebuah lagi bot yang dinaiki 10 penumpang yang dalam perjalanan ke Serusup.

Menurut beliau, operasi mencari dan menyelamat mangsa masih diteruskan di sekitar lokasi kejadian melibatkan 60 anggota dari Jabatan Pertahanan Awam Malaysia, polis, bomba dan Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia.

“Operasi masih diteruskan kerana kita tidak dapat memastikan bilangan penumpang dari kedua-dua bot berkenaan. Semua penumpang tidak mendaftar ketika menaiki bot,” katanya.

Sementara itu, jurucakap Hospital Tuaran memaklumkan 14 daripada 24 mangsa tragedi bot berkenaan dibenarkan pulang ke rumah masing-masing setelah menerima rawatan di hospital berkenaan.

Bagaimanapun, lapan lagi mangsa masih menerima rawatan manakala dua lagi mangsa, masing-masing seorang dirujuk ke Hospital Queen Elizabeth 1 dan Hospital Queen Elizabeth 2 di Kota Kinabalu untuk rawatan lanjut.