Manila tegas guna laluan udara biasa

Manila tegas guna laluan udara biasa

MANILA, Filipina, 25 Mei (Agensi) – Pesawat Filipina akan terus terbang menggunakan laluan biasa mereka di ruang udara terumbu karang yang menjadi punca konflik di Laut China Selatan, menurut presiden negara itu hari ini, secara terbuka menentang cabaran China ke atas pesawat negara itu dan milik Amerika Syarikat.

Presiden Benigno Aquino III memberitahu para wartawan tiada zon pengenalan pertahanan udara yang diisytiharkan di kawasan berkenaan dan “kita masih perlu terbang menggunakan laluan itu berdasarkan undang-undang antarabangsa.”

“Kita akan terus melaksanakan hak kita berhubung zon eksklusif ekonomi milik kita,” katanya, sambil menambah bahawa “baris akhirnya adalah, ia perlu jelas, kita akan pertahankan hak kita dengan seluruh keupayaan yang ada.”

Aquino turut menegaskan mengenai perbezaan dalam kekuatan ketenteraan China dan Filipina, sambil berkata China tidak boleh membuli sebuah negara kecil kerana ia akan menjejaskan imejnya tatkala ia cuba untuk mewujudkan semangat perpaduan yang jitu di kalangan rakan dagangnya.

Presiden Benigno Aquino III. – AFP
Presiden Benigno Aquino III. – AFP

Filipina meneruskan usaha penimbangtaraan antarabangsa dan diplomatik untuk cuba menyelesaikan pertikaian wilayah dengan China.

Ketika ditanya mengenai apa bentuk penyelarasan yang sudah Filipina ambil dengan Amerika Syarikat, sekutu ketenteraan penting, Aquino berkata kedua-dua negara saling membantu tetapi mengakui maklumat lanjut tidak boleh didedahkan lagi.

China berkata semalam bahawa ia layak untuk membuat pengawasan di ruang udara dan kawasan laut persekitaran dalam pertikaian perairan Laut China Selatan, berikutan tindakan oleh tentera lautnya yang memberi amaran kepada pesawat pengawasan Amerika Syarikat.

AS pula dilaporkan berkata pengawasan ruang udara yang dilakukan pesawatnya adalah berlandaskan undang-undang antarabangsa dan justeru itu tiada mana-mana pihak yang boleh cuba menghalangnya.