Manny Pacquiao kembali bertarung

Manny Pacquiao kembali bertarung

MANILA, 10 Ogos – Ikon tinju, Manny Pacquiao mengesahkan hari ini bahawa beliau akan kembali bertarung menentang juara welterweight Pertubuhan Tinju Dunia (WBO), pada November ini.

Peninju Filipina berumur 37 tahun yang memenangi gelaran dunia dalam lapan kategori berbeza itu membuat pengumuman berkenaan selepas bertemu promoter pertandingan, Bob Arum di Manila, semalam.

“Ya, pertarungan itu akan berlaku. Saya bersetuju untuk pertarungan 5 November ini dengan juara welterwight WBO, Jessie Vargas,” kata Pacquiao dalam satu kenyataan.

“Tinju adalah minat saya. Saya rindu untuk melakukannya ketika di gimnasium dan juga di dalam gelanggang,” katanya.

Selepas menang menewaskan peninju Amerika Syarikat, Timothy Bradley pada April lalu, Pacquiao mengumumkan mahu bersara untuk memberi fokus dalam karier politik.

Pacquiao dipilih untuk berada dalam senat Filipina pada Mei lalu tetapi sebelum memasuki pejabatnya, dia mengesahkan mahu bertarung semula.

“Tinju adalah sumber pendapatan utama. Saya tidak boleh bergantung kepada pendapatan yang diperoleh daripada pejabat awam.

“Saya juga membantu keluarga isteri dan keluarga sendiri. Ramai orang datang meminta pertolongan dan saya tidak boleh mengelakkan,” katanya.

Pengurus Pacquiao, Michael Koncz mengesahkan hari ini bahawa promosi perlawanan itu akan diadakan dari 8 September hingga 10 di Los Angeles, dan berkata kontrak akan ditandatangani tidak lama lagi.

Pacquiao (58-6-2, 38 KOs) berkata beliau akan kembali ke Filipina sejurus selepas mempromosikan perlawanan tersebut bagi memenuhi tugas politiknya. – AFP

Manny