Mantan Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB diraikan

Mantan Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB diraikan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 15 Mac – Jasa serta bakti yang ditaburkan oleh mantan-mantan ahli Lembaga Pengarah Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (Perbadanan TAIB) terus dihargai dan diraikan dalam Majlis Makan Malam Penghargaan yang diadakan di Member’s Lounge, The Empire Hotel & Country Club, Jerudong, hari ini.

Antara yang menerima penghargaan pada majlis itu adalah mantan Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman, mantan Timbalan Pengerusi Perbadanan TAIB dan mantan Pengerusi Darussalam Holdings Sdn Bhd, Dato Seri Setia Haji Yusoff bin Haji Ismail dan ahli lembaga, Dayang Rokiah binti Haji Badar.

Hadir pada majlis berkenaan dan menyempurnakan penyampaian cenderahati kepada para penerima yang diraikan ialah Menteri Hal Ehwal Ugama dan Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Udana Khatib Dato Paduka Seri Setia Ustaz Haji Awang Badaruddin bin Pengarah Dato Paduka Haji Awang Othman.

Turut hadir ialah Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB, Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof, ahli-ahli Lembaga Perbadanan TAIB, Insurans Islam TAIB Sdn Bhd, Darussalam Holdings Sdn Bhd, Jawatankuasa Penasihat Syariah serta pegawai-pegawai kanan TAIB.

Sesi bergambar-ramai sebelum majlis malam penghargaan diadakan.
Sesi bergambar-ramai sebelum majlis malam penghargaan diadakan.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad.
Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin menyampaikan cenderahati penghargaan kepada Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad.

Yang Berhormat Pehin Haji Awang Halbi dalam kata alu-aluannya menyatakan penghargaan kepada semua mantan ahli yang diraikan pada majlis berkenaan atas sumbangan, khidmat bakti, nasihat serta usaha untuk membantu menerajui perkembangan dan hala tuju Perbadanan TAIB.

Beliau berkata bahawa hasil daripada khidmat bakti dan nasihat serta usaha mereka itu, Perbadanan TAIB telah berjaya untuk menempuh pelbagai kemajuan, meraih kejayaan serta mengharungi pelbagai cabaran untuk menjadi lebih kukuh serta terus berkembang.

Majlis kemudian menyaksikan para mantan ahli menerima cenderahati penghargaan yang disampaikan oleh Yang Berhormat Pehin Ustaz Haji Awang Badaruddin.

Pengiran Dato Seri Setia Dr. Haji Mohammad telah dilantik sebagai Penasihat Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB pada 2010 hingga 2015. Manakala itu, Dato Seri Setia Haji Yusoff menjadi ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB sejak 1998 dan Pengerusi Darussalam Holdings Sdn Bhd sejak 2003, sementara Dayang Rokiah merupakan ahli Lembaga Pengarah Perbadanan TAIB sejak 2013.

ARTIKEL YANG SAMA