Mantan Menteri Pendidikan terima anugerah SEAMEO

Mantan Menteri Pendidikan terima anugerah SEAMEO

BANGKOK, Thailand, 7 Mei – Mantan Menteri Pendidikan, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Laila Wijaya Dato Seri Setia (Dr) Haji Awang Abdul Aziz bin Begawan Pehin Udana Khatib Dato Seri Paduka Haji Awang Umar menerima Anugerah Pengiktirafan sempena Ulang Tahun Pertubuhan Menteri-Menteri Pendidikan Asia Tenggara (SEAMEO) ke-50 tahun.

Penyampaian anugerah tersebut berlangsung pada Majlis Pembukaan Rasmi Mesyuarat ke-48 SEAMEO di Royal Cliff Hotel Group, Chonburi, Pattaya Thailand, hari ini dan disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Thailand, Admiral Narong Pipatanasai.

Yang Berhormat Pehin (Dr) Haji Awang Abdul Aziz adalah di antara enam penerima anugerah berkenaan.

Penerima-penerima lain bagi anugerah tersebut ialah Prof. Dr. Bambang Sudibyo dari Indonesia; Dato’ Dr Ahamad b1in Sipon dari Malaysia; Prof Dr Erlinda Canlas Pefianco dari Republik Filipina; Prof Dr Adul Wichiencharoen, yang merupakan Penasihat Undang-Undang SEAMEO (1987 hingga sekarang) dan Tran Ba Viet Dzung dari Vietnam.

Penghormatan anugerah ini adalah bagi mengenang jasa-jasa, sumbangan profesional dan kepimpinan Yang Berhormat Pehin dalam perkembangan bidang pendidikan, sains dan budaya di Negara Brunei Darussalam dan juga di peringkat serantau dan antarabangsa.

Yang Berhormat Pehin (Dr) Haji Awang Abdul Aziz (tiga dari kiri) bergambar ramai bersama-sama penerima anugerah yang lain.
Yang Berhormat Pehin (Dr) Haji Awang Abdul Aziz (tiga dari kiri) bergambar ramai bersama-sama penerima anugerah yang lain.

Yang Berhormat Pehin pernah menjawat sebagai Presiden Pertubuhan SEAMEO dan pengerusi Majlis Persidangan SEAMEO sebanyak empat kali iaitu pada tahun 1986 hingga 1987, 1992 hingga 1993, 1989 hingga 1999 dan 2004 hingga 2005.

Selain itu, Yang Berhormat Pehin turut menyumbang kepada pelbagai perkembangan dan kerjasama pendidikan serantau ketika menjadi ahli Majlis SEAMEO pada tahun 1984 hingga 1986, 1988 hingga 1992, 1994 hingga 1998, dan 2000 hingga 2004.

Beliau juga pernah memegang beberapa jawatan penting dalam kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia, termasuk sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri Brunei pada 1974 hingga 1981, Pemangku Menteri Besar Negeri Brunei pada 1 September hingga 31 Disember 1983, Menteri Pendidikan dan Kesihatan dari 1 Januari 1984 hingga 1986, Menteri Perhubungan dari tahun 1986 hingga tahun 1987 dan Menteri Pendidikan dari 30 November 1988 hingga 24 Mei 2005.

Pada masa ini, Yang Berhormat Pehin adalah ahli Majlis Mesyuarat Diraja Brunei, Majlis Agama Islam Brunei, Majlis Adat Istiadat Brunei, Majlis Mesyuarat Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan Brunei, Board of Trustee of Oxford Centre United Kingdom dan Ahli Rabitah Al-Alam Saudi Arabia.

ARTIKEL YANG SAMA