Mantap kerjasama strategik

Mantap kerjasama strategik

Gambar Infofoto

 

VIENTIANE, 8 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam hari ini berkenan berangkat menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-14, Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat ke-4 dan Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11 yang berlangsung di Pusat Persidangan Kebangsaan Vientiane, Republik Laos.

Pada Sidang Kemuncak ASEAN-India ke-14, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah melahirkan rasa gembira atas pencapaian Pelan Tindakan Baharu di mana sebanyak 20 peratus daripada aktiviti-aktiviti telah dilaksanakan dalam tempoh lapan bulan yang lalu. Bagi keberkesanan perlaksanaannya, para pegawai digalakkan untuk bekerjasama lebih rapat lagi memanfaatkan sepenuhnya Pusat ASEAN-India dan memberikan pandangan strategik untuk menggalakkan perhubungan.

Baginda Sultan juga menekankan kepentingan inisiatif-inisiatif ekonomi seperti ASEAN-India FTA, Perjanjian Perdagangan dalam Perkhidmatan dan Pelaburan yang dikuatkuasakan pada tahun lepas, penelitian semula Perjanjian Barangan serta termaktubnya Perjanjian R-CEP yang akan membantu mencapai sasaran perdagangan sebanyak AS$200 bilion menjelang tahun 2022. Selain itu, sektor swasta diberikan kefahaman tentang peluang-peluang yang diwujudkan daripada inisiatif-inisiatif tersebut dengan menganjurkan interaksi dalam kalangan masyarakat peniaga.

Di akhir titah, Baginda melahirkan keyakinan aktiviti yang dijalankan bagi memperingati 25 tahun hubungan ASEAN-India pada tahun hadapan akan mengukuhkan lagi persefahaman dan persahabatan di kalangan masyarakat.

Dalam sidang itu, Perdana Menteri Republik India, Narendra Modi dan Presiden Republik Sosialis Vietnam, Tran Dai Quang selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-India turut menyampaikan ucapan.

Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak ASEAN-India.
Baginda Sultan berkenan mengurniakan titah pada Sidang Kemuncak ASEAN-India.

pg01_160909_logo-asean-summit

Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Vientiane, Laos.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai bersama pemimpin-pemimpin ASEAN dan Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat di Vientiane, Laos.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai dengan pemimpin-pemimpin ASEAN dan India pada Sidang Kemuncak ASEAN-India.
Baginda Sultan berkenan bergambar ramai dengan pemimpin-pemimpin ASEAN dan India pada Sidang Kemuncak ASEAN-India.
Baginda Sultan ketika berkenan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).
Baginda Sultan ketika berkenan menghadiri Sidang Kemuncak Asia Timur (EAS).

Manakala pada Sidang Kemuncak ASEAN-Amerika Syarikat (AS) ke-14, Kebawah Duli Yang Maha Mulia bertitah memuji kemajuan hubungan ASEAN-AS termasuk kongsi sama yang telah dipertingkatkan ke peringkat strategik. Baginda kemudiannya menyuarakan pentingnya untuk mendalami lagi kerjasama strategik dalam bidang-bidang jalinan pertukaran di antara rakyat, memupuk keusahawanan dan inovasi, dan membangun sumber manusia dan kapasiti.

Dalam kerjasama ekonomi, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengalu-alukan kemajuan perbincangan yang dicapai ke atas pelbagai inisiatif yang dicadangkan seperti Pusat-Pusat Perhubungan Amerika Syarikat-ASEAN (US-ASEAN Connect Centres) dan Program Penempatan ASEAN-Amerika Syarikat (ASEAN-US Internship Programme).

Selaku rakan kongsi strategik, Kebawah Duli Yang Maha Mulia menekankan pentingnya meneruskan kerjasama yang rapat dalam menangani cabaran-cabaran keamanan dan kestabilan antarabangsa. Ancaman keganasan, walau bagaimanapun, kekal menjadi kebimbangan yang serius, dan punca keganasan dan keganasan melampau hendaklah ditangani secara komprehensif.

Dalam hal ini, Baginda percaya bahawa pendidikan dan pertukaran meluas di antara rakyat, terutama golongan belia, memainkan peranan penting.

Bagi mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia merakamkan ucapan terima kasih kepada Presiden AS, Barack Obama di atas usaha-usaha peribadi beliau dalam memperkukuhkan persahabatan dan kerjasama diantara ASEAN dan Amerika Syarikat.

Pada sidang kemuncak itu, Perdana Menteri Malaysia, Dato Laila Utama Datuk Seri Mohd Najib selaku Negara Penyelaras bagi Hubungan ASEAN-Amerika Syarikat turut dijemput menyampaikan ucapan.

Dalam pada itu, semasa berangkat dan bertitah pada Sidang Kemuncak Asia Timur ke-11, Kebawah Duli Yang Maha Mulia turut mengongsikan dua langkah pendekatan Negara Brunei Darussalam bagi menangani isu Laut China Selatan, iaitu pertama melalui dialog dan konsultasi secara aman, selaras dengan undang-undang antarabangsa, termasuk Konvensyen Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu mengenai Undang-undang Laut 1982 (UNCLOS).

Kedua, bagi ASEAN dan China menggalakkan persekitaran yang tenang, aman dan kondusif untuk mengadakan perbincangan-perbincangan antara negara-negara yang mempunyai tuntutan. Baginda kemudian melahirkan kegembiraan dengan hasil-hasil positif semasa Sidang Kemuncak ASEAN-China, yang mana ASEAN-China telah bersetuju untuk mengamati “Code for Unplanned Encounters at Sea” dan talian-talian kecemasan maritim di antara kementerian-kementerin hal ehwal luar negeri akan ditubuhkan.

Di samping itu, Baginda seterusnya berbesar hati atas kemajuan signifikan yang dicapai dalam enam bidang utama kerjasama, terutama sekali dalam pengurusan alam sekitar dan bencana alam. Bagi menangani kebimbangan yang dibawa oleh perubahan iklim, langkah-langkah mitigasi dan adaptasi perlu diberikan perhatian, sepertimana yang digariskan dalam Deklarasi Singapura, yang diterimapakai pada tahun 2007.

Dalam hal ini, Negara Brunei Darussalam komited untuk menangani cabaran global tersebut selaras dengan dasar alam persekitaran dan keupayaan kebangsaan. Langkah-langkah mitigasi sedang diambil termasuk melalui usaha-usaha pemeliharaan hutan seperti Inisiatif Nadi Borneo.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyuarakan ianya adalah tanggungjawab bersama untuk mengurangkan impak bencana daripada menjejaskan rakyat. Penyelarasan dan tindak balas yang berkesan dalam masa-masa krisis adalah penting bagi mengurangkan kerosakan yang disebabkan oleh bencana, dan paling penting, untuk menyelamatkan nyawa rakyat.

Baginda turut menyuarakan bahawa Negara Brunei Darussalam sentiasa memberikan sokongan kepada usaha-usaha antarabangsa menangani insiden-insiden berkaitan pengganasan dan keganasan melampau secara komprehensif. Kebawah Duli Yang Maha Mulia menyatakan bahawa tindakan tersebut tidak sepatutnya dikaitkan dengan mana-mana agama, bangsa, tamadun atau kumpulan etnik.

Bagi mengakhiri titah, Kebawah Duli Yang Maha Mulia mengetengahkan pelbagai cara untuk menangani isu berkenaan, termasuklah dengan merapatkan hubungan sesama masyarakat bagi menggalakkan toleransi, kesederhanaan dan menghormati kehidupan, mengambil bahagian dalam usaha-usaha dua hala, serantau dan antarabangsa, dan penyelarasan dan perkongsian maklumat yang tepat dan cepat antara agensi.

ARTIKEL YANG SAMA