Mantapkan akidah dan kerohanian bakal graduan

Mantapkan akidah dan kerohanian bakal graduan

BANDAR SERI BEGAWAN, 22 Mei – Kolej Universiti Perguruan Ugama Seri Begawan (KUPU SB) akan mengadakan Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian bagi semua bakal graduan KUPU SB pada tahun ini.

Program ini akan dikendalikan bersama oleh Bahagian Pentadbiran KUPU SB dan Bahagian Hal Ehwal Pelajar dengan kerjasama semua fakulti dan Pusat KUPU SB.

Semasa sidang media kelmarin, Dekan Pelajar KUPU SB, Dr. Haji Noralizam bin Haji Aliakbar menjelaskan, program berkenaan akan diisikan dengan bengkel, ceramah, tazkirah serta zikir, bagi pengukuhan akidah dan kerohanian bakal graduan yang diharapkan akan menjadi seorang pendidik yang berakhlak dan berilmu dengan berpegang kepada ajaran Akidah Ahli Sunnah Wal-Jama’ah.

Dr. Haji Noralizam semasa sidang media mengenai Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian bagi semua bakal graduan KUPU SB.
Dr. Haji Noralizam semasa sidang media mengenai Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian bagi semua bakal graduan KUPU SB.

Menurut beliau, antara objektif program adalah untuk membentuk sahsiah pelajar ke arah kecemerlangan insan yang bertakwa dan melahirkan sikap positif dan ketabahan dalam menghadapi cabaran hidup sebagai seorang pendidik.

Di samping itu, melahirkan seorang pendidik yang berwibawa serta menjadi contoh tauladan (role model) serta mempersiapkan diri dalam menjalankan tugas sebagai pendidik untuk berhadapan dengan masyarakat.

Program Kemantapan Akidah dan Kerohanian Bakal Graduan KUPU SB 2016 ini akan dirasmikan pada 17 Syaaban 1437H bersamaan dengan 24 Mei 2016 dan bakal dijalankan selama tiga hari berturut-turut.

ARTIKEL YANG SAMA