Mantapkan azan, iqamat

Mantapkan azan, iqamat

Oleh Yusrin Junaidi

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 April – Lebih 50 orang peserta yang mewakili masjid-masjid di keempat-empat daerah telah mengikuti Pertandingan Azan dan Iqamat Senegara anjuran Majlis Perundingan Kampung (MPK) Bunut Perpindahan.

Pertandingan ini telah dibahagikan kepada dua kategori iaitu A bagi peserta berumur 45 tahun ke atas yang menerima 18 penyertaan dan B bagi peserta berumur di antara 18 hingga 44 tahun yang menerima sebanyak 34 penyertaan.

Bagaimanapun, hanya 16 orang peserta, lapan orang bagi setiap kategori, yang layak ke peringkat akhir yang berlangsung di Masjid Kampung Bunut, hari ini.

Juara kategori A telah disandang oleh Awang Mahmud bin Abu Bakar yang mewakili Masjid RPN Lambak Kanan, Brunei dan Muara Zon 2, yang diikuti oleh Haji Abas bin Haji Amit di tempat kedua dan Awang Mohamad Yusron bin Haji Jahari di tempat ketiga.

Johan Pertandingan Azan dan Iqamat bagi kategori A menerima hadiah daripada wakil tetamu kehormat majlis.
Johan Pertandingan Azan dan Iqamat bagi kategori A menerima hadiah daripada wakil tetamu kehormat majlis.
Peserta pertama, Haji Roslan, wakil dari Masjid Kampung Panchor Murai.
Peserta pertama, Haji Roslan, wakil dari Masjid Kampung Panchor Murai.

Peserta dari Balai Ibadat Kampung Saba, Haji Shahrin bin Haji Matnor pula telah dinobatkan sebagai juara kategori B, sementara itu, tempat kedua dan ketiga, masing-masing dimenangi oleh Haji Asmat bin Haji Jalil dan Awang Abdul Wafiy bin Haji Abdul Kadiroshman.

Penyampaian hadiah telah disempurnakan oleh Pemangku Pengarah Jabatan Penjara, Haji Ismail bin Haji Murat selaku wakil tetamu kehormat, Setiausaha Tetap di Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri, Haji Mohd ‘Abdoh bin Dato Seri Setia Haji Abdul Salam.

Pertandingan ini merupakan salah satu pengisian aktiviti MPK Bunut bagi mendekatkan para peserta dengan aktiviti berbentuk keagamaan, sekali gus mendedahkan peserta-peserta terutama belia-belia agar sentiasa menaruh minat melaungkan azan dan iqamat pada bila-bila masa.

Pemangku Ketua Kampung Bunut Perpindahan, Haji Durahim bin Hassan berkata, pertandingan ini juga salah satu aktiviti tahunan yang diselenggarakan bersama oleh Jawatankuasa MPK Bunut dan Ikatan Persatuan Belia Bunut dengan kerjasama Jabatan Hal Ehwal Masjid, Kementerian Hal Ehwal Ugama.

“Selain pendedahan kepada para belia, aktiviti ini juga mengasah bakat peserta supaya akan lebih terserlah untuk melaungkan azan dan iqamat dengan lebih baik dan dapat mencungkil bakat dan menambahkan lagi minat peserta supaya akan lebih cenderung beribadat ke masjid,” tambah beliau.

ARTIKEL YANG SAMA