Mantapkan bidang perubatan sukan

Mantapkan bidang perubatan sukan

Oleh Hasrulraizan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Nov – Seramai 20 orang pegawai perubatan (medik) yang mewakili kelab-kelab bola sepak Liga Super, Liga Perdana, Liga Futsal Brunei dan Persatuan Pengadil Bola Sepak Negara Brunei Darussalam kini giat mengikuti Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan Kali Pertama anjuran Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam (NFABD).

Kursus itu merupakan satu lagi inisiatif NFABD untuk meningkatkan pembangunan bola sepak dan futsal di negara ini khususnya dalam memantapkan urus tadbir dan perjalanan pentadbiran kelab-kelab bola sepak dan futsal, ujar Pemangku Setiausaha Agung NFABD, Haji Abdul Razak bin Haji Hasbullah.

Dalam ucapannya ketika merasmikan bengkel dua hari yang merangkumi teori dan amali sehingga esok (Rabu), 4 November di Bilik Juri, Stadium Negara Hassanal Bolkiah itu, beliau menjelaskan bahawa tujuan bengkel itu diadakan adalah untuk memberikan ilmu pengetahuan asas dalam bidang perubatan sukan dan pengurusan kecederaan.

Menurutnya, mendapat banyak kecederaan bagi mereka yang terlibat dalam sukan kompetitif sama ada secara berseorangan mahupun secara berkumpulan adalah sesuatu yang tidak dapat diduga dan dielakkan, maka ia menjadi perkara yang mesti ditangani sebaik mungkin.

Haji Abdul Razak sedang berucap ketika merasmikan Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan.
Haji Abdul Razak sedang berucap ketika merasmikan Bengkel Asas Bantuan Kecemasan dan Pengurusan Kecederaan Sukan.

“Di sinilah tempatnya bagi para peserta untuk mengetahui dan memahami cara-cara rawatan yang betul dan sesuai dalam bersukan khususnya dalam permainan bola sepak dan futsal.”

Beliau berharap para peserta kursus akan mengikutinya dengan tekun dan mempelajarinya sehingga benar-benar faham akan program kursus yang disediakan.

Para pemudahcara bengkel terdiri daripada warga kerja Pusat Pemulihan Perubatan Sukan (Sport Medical Recovery Center – SMRC), Jabatan Belia dan Sukan, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan termasuk Ketua Pusat itu sendiri iaitu Dr. Haji Danish Zaheer.

Antara topik menarik berkaitan bola sepak dan futsal yang didedahkan kepada para peserta di sepanjang kursus berkenaan ialah ‘Kecederaan Lazim Dalam Bola Sepak’ (pengurusan dan bantuan kecemasan), ‘Kecederaan dan Bantuan Kecemasan di Tepi Padang/Gelanggang ‘(amali), ‘Pengurusan Kecederaan Di Tepi Padang dan Urutan untuk Kecederaan Lazim’.

Selain mengikuti bengkel selama dua hari itu, para peserta kursus turut dikehendaki mencukupkan 20 jam latihan penempatan kerja di SMRC mengikut masa kelapangan peserta tersendiri yang perlu ditempah awal dengan SMRC sebelum mereka boleh menerima sijil dan digelar sebagai medik bertauliah.