Mantapkan kefahaman MIB

Mantapkan kefahaman MIB

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 19 Mei – Konsep Melayu Islam Beraja (MIB) merupakan warisan tradisi turun temurun yang dimiliki oleh masyarakat Brunei sebagai asas perpaduan hidup bermasyarakat dan bernegara.

MIB adalah cara hidup yang diamalkan sekian lama menjadi identiti dan jati diri bangsa Brunei yang menjadi asas kepada pembinaan serta pembentukan sebuah negara bangsa yang merdeka dan berdaulat.

Oleh yang demikian adalah amat penting untuk menyebarkan dan mengukuhkan kefahaman MIB dalam kalangan generasi muda dan dalam hal ini para pendidik perlu memainkan peranan penting dalam mengasah, mendidik serta menyemai nilai-nilai kehidupan MIB kepada pelajar-pelajar mereka.

Setiausaha/Ketua Urus Setia Majlis Tertinggi MIB, Dr Haji Muhammad Hadi bin Muhammad Melayong, berkata demikian ketika menyampaikan taklimat dan ceramah Konsep Melayu Islam Beraja, semasa Muzakarah Nilai-nilai KeBruneian Dalam Konteks Falsafah MIB yang berlangsung di Hotel Centrepoint, Gadong, hari ini.

Sesi muzakarah itu dianjurkan oleh Sekretariat Majlis Tertinggi MIB dengan kerjasama Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Kementerian Pendidikan, dan disertai oleh kira-kira 100 peserta yang terdiri daripada para pegawai kanan, pihak-pihak industri, guru-guru atau tenaga pengajar mata pelajaran MIB dan Pengetahuan Agama Islam (IRK) Vokasional dan Teknikal.

Di antara warga Institut Pendidikan Teknikal Brunei yang menghadiri sesi muzakarah itu.
Di antara warga Institut Pendidikan Teknikal Brunei yang menghadiri sesi muzakarah itu.

Dr Haji Muhammad Hadi turut berkata bahawa menjelaskan, memandu, memberigakan dan mengukuhkan serta memantau corak kehidupan masyarakat berlandaskan MIB kepada semua peringkat merupakan antara peranan dan tanggungjawab Majlis Islam Beraja.

Ceramah khas mengenai nilai-nilai keBruneian dalam konteks konsep MIB di majlis berkenaan telah disampaikan oleh Ahli Urus Setia Majlis Tertinggi MIB, Profesor Madya Dr Haji Hashim bin Haji Abdul Hamid di mana beliau menjelaskan bahawa nilai-nilai keBruneian itu meliputi nilai moral, nilai budaya, nilai estetik dan nilai agama.

Menurutnya lagi, terdapat dua cara menganalisis konsep keBruneian iaitu dilihat dari literal, ia berhubung rapat dengan rupa bangsa dan negara tempat bangsa Brunei itu wujud atau bermastautin yang ditentukan oleh corak pemerintahan, kedaulatan, rupa rakyatnya dan garis-garis geografinya.

Dari takrif atau tafsiran, ia melihat bahawa konsep keBruneian mempunyai muatan dan ciri-ciri tertentu yang tujuannya untuk memelihara dan mengangkat martabat bangsa dalam apa jua gerakan kehidupan, sama ada watak, pola fikir dan tindakan.

Terdahulu daripada itu, Penolong Pengarah Institut Pendidikan Teknikal Brunei, Dr Haji Mohd Zambri bin Haji Sabli dalam kata alu-aluannya menyatakan sesi muzakarah itu bermatlamat untuk membentuk perwatakan yang terpuji dan mulia berasaskan konsep MIB dalam diri setiap warga institut, membina rasa hormat yang amat tinggi kepada pemimpin-pemimpin serta kalangan pendidik.

Beliau juga berkata, ia bermatlamat untuk meningkatkan rasa tanggungjawab warga institut terhadap bidang kerjaya mereka dalam sama-sama membentuk sahsiah pelajar menuju alam pekerjaan serta mewujudkan kesedaran pada setiap warga institut mengenai kepentingan menjaga keharmonian dalam sesebuah institusi.

“Saya percaya pendidik Melayu Islam Beraja itu sendiri sejajar dengan misi dan visi serta matlamat Wawasan Negara Brunei Darussalam 2035 bagi menyediakan belia-belia masa kini untuk memahami, mengetahui serta mengekalkan dan menghayati nilai-nilai keBruneian menghadapi cabaran era globalisasi masa kini.”

Dr Haji Mohd Zambri juga menyatakan harapan sesi muzakarah itu dapat meningkatkan lagi kualiti perwatakan dan bidang kerjaya pendidik ketika menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka khususnya dalam pengajaran dan pembelajaran.

“Saya juga berharap para pendidik akan dapat mengamalkan dan menghayati nilai-nilai keBruneian dalam pengajaran dan pembelajaran mereka di institusi masing-masing,” tegasnya.

ARTIKEL YANG SAMA