Mantapkan kerjasama ekonomi

Gambar oleh Infofoto

 

BEIJING, 13 Sept – Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam petang tadi berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Perdana Menteri Republik Rakyat China, Li Keqiang, yang berlangsung di West Hall, Great Hall of the People, Beijing.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.

Keberangkatan tiba Kebawah Duli Yang Maha Mulia dijunjung oleh Perdana Menteri Li Keqiang. Semasa perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Li Keqiang berbincang mengenai hubungan ekonomi Brunei-China, termasuk dalam bidang tenaga, infrastruktur dan pembangunan, pertanian, perikanan, kewangan dan kesalinghubungan.

Kedua-dua pemimpin juga membincangkan mengenai hubungan dialog ASEAN-China, di mana kedua-dua belah pihak mengalu-alukan sambutan ulang tahun ke-15 bagi Perkongsian Strategi ASEAN-China menjelang 2018.

KDYMM berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Perdana Menteri Republik Rakyat China, Li Keqiang.
Turut berangkat mengiringi Baginda Sultan ialah YTM Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
KDYMM berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap NPC, Republik Rakyat China, Zhang Dejiang.

Terdahulu pada sebelah pagi, Baginda berkenan mengadakan Perjumpaan Dua Hala dengan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kongres Kebangsaan Rakyat (NPC), Republik Rakyat China, Zhang Dejiang, yang berlangsung di Reception Hall, Great Hall of the People, Beijing.

Berangkat mengiringi Kebawah Duli Yang Maha Mulia ialah Yang Teramat Mulia Paduka Seri Duli Pengiran Muda ‘Abdul Mateen. Sejurus keberangkatan tiba, Baginda Sultan dijunjung oleh Pengerusi NPC, Republik Rakyat China.

Semasa perjumpaan tersebut, Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan Zhang Dejiang berbincang mengenai pertukaran-pertukaran di peringkat rakyat dan mengalu-alukan lebih banyak penglibatan anggota parlimen.

Kedua-dua pihak juga membincangkan pelbagai cara untuk mengukuhkan kerjasama ekonomi dua hala dan menekankan kepentingan dalam meningkatkan kesalinghubungan di antara Negara Brunei Darussalam dan China.