Mantapkan penyelidikan sains dan teknologi

Mantapkan penyelidikan sains dan teknologi

Oleh Imelda Groves HA

Gambar oleh Muiz Matdani

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 14 Nov – Negara Brunei Darussalam perlu berusaha melibatkan diri dalam penyelidikan sains dan teknologi bagi mendorong ke arah mempelbagaikan ekonominya selain minyak dan gas.

Untuk itu, sudah tiba masanya Universiti Teknologi Brunei (UTB) meningkatkan reputasi penyelidikan dengan memberikan fokus yang lebih meluas ke atas penyelidikan canggih dan terus menyediakan pengalaman pendidikan berkualiti tinggi.

Perkara itu disentuh oleh Pemangku Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Ghafar ketika berucap merasmikan Persidangan Antarabangsa Kejuruteraan dan Teknologi Brunei ke-6 (BICET) dan Persidangan Kejuruteraan Awam ASEAN ke-9 (ACEC) yang berlangsung di Dewan Serba guna, Universiti Teknologi Brunei hari ini.

Menurutnya, “UTB telah pun menawarkan pelbagai program ijazah kejuruteraan dan menyediakan asas yang kukuh di peringkat ijazah pertama dan lanjutan manakala Program Lanjutan Pembelajaran (FLP) juga bertujuan menyediakan jurutera awam bukan sahaja untuk kementerian itu malah untuk kementerian-kementerian yang lain secara profesional yang diiktiraf oleh badan-badan antarabangsa.

Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapan.
Tetamu kehormat ketika menyampaikan ucapan.

“Memandangkan Negara Brunei Darussalam berusaha mempelbagaikan ekonominya di luar sektor minyak dan gas, mewujudkan asas tenaga manusia saintifik dan teknologi yang kukuh adalah penting. Dalam hal ini, saya gembira kerana UTB telah menubuhkan sebuah sekolah baru sains gunaan dan matematik.

“Program ijazah baru dalam bidang sains dan teknologi makanan akan menghasilkan tenaga kerja mahir dan berdisiplin untuk memacu usaha kepelbagaian Brunei Darussalam.

“Bidang ilmu sains dan teknologi didorong oleh universiti-universiti yang melibatkan kumpulan penyelidik neutral dunia. Oleh itu, adalah penting untuk memupuk persekitaran penyelidikan di mana interaksi dan kerjasama di kalangan ahli akademik, dalam dan luar negara, di mana sahaja mereka berada, digalakkan dan diberi ganjaran,” ujar beliau.

Dato Paduka Haji Suhaimi hadir selaku tetamu kehormat.
Dato Paduka Haji Suhaimi hadir selaku tetamu kehormat.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.
Para jemputan yang hadir ke majlis itu.

Menurut Dato Paduka Haji Suhaimi, Brunei Darussalam perlu melibatkan diri ke dalam rangkaian penyelidikan global semua bidang sains dan teknologi supaya dapat memupuk bakat tempatan dan memanfaatkan bakat global.

Persidangan seperti BICET ke-6 dan ACEC ke-9 memainkan peranan penting dengan bertindak sebagai forum untuk ahli-ahli sains dan jurutera, pelajar, pengamal industri untuk berinteraksi, bekerjasama dan meningkatkan profil inovasi sains dan teknologi dan pendidikan di Negara Brunei Darussalam.

“Saya berharap akan ada banyak perbincangan tidak rasmi yang akan membawa kepada kerjasama baru dan persahabatan yang baru. Kepada tetamu antarabangsa kami, saya harap awda mendapat pengalaman yang menyeronokkan ketika berada di sini,” katanya.

ARTIKEL YANG SAMA