Mantapkan persediaan haji

Mantapkan persediaan haji

Oleh Yusrin Junaidi

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 31 Julai – Seramai 400 orang bakal jemaah haji hari ini menghadiri Kursus Amali Ibadat Haji Bagi Bakal Jemaah Haji Negara Brunei Darussalam bagi musim haji tahun 2015 sebagai persediaan untuk menunaikan rukun Islam yang kelima itu di Kompleks Stadium Tertutup, Berakas.

Kursus tersebut merupakan kegiatan tahunan Jabatan Urusan Haji, Kementerian Hal Ehwal Ugama, bertujuan memberikan kefahaman pelaksanaan ibadah haji secara mendalam serta berkesan melalui tunjuk cara secara amali dan mudah difahami, memberi maklumat dan nasihat-nasihat berguna kepada bakal-bakal jemaah haji.

Hadir menyaksikan pengendalian kursus itu ialah Menteri Hal Ehwal Ugama, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad bin Pengiran Haji Abdul Rahman.

Dalam ucapannya, Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad berkata, dalam pertemuannya dengan Menteri Haji dan Wakaf, Kerajaan Arab Saudi yang lalu, beliau menyatakan penghargaan rasa senang mereka kepada jemaah haji dari Negara Brunei Darussalam yang penuh disiplin, tiada menimbulkan sebarang masalah dan sentiasa patuh dengan peraturan-peraturan yang dikenakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi.

Katanya, penghargaan berkenaan sangat besar maknanya bagi Brunei Darussalam agar segala urusan yang berkaitan dengan jemaah haji Brunei sentiasa mendapat kemudahan dan layanan yang baik di masa-masa akan datang.

Kursus amali ibadat haji sedang ditunjukkan kepada bakal-bakal jemaah haji kelmarin.
Kursus amali ibadat haji sedang ditunjukkan kepada bakal-bakal jemaah haji kelmarin.

“Sebab itu, adalah menjadi tanggungjawab para jemaah haji untuk sentiasa menjaga nama baik ini sepanjang berada di tanah suci nanti,” katanya sambil menjelaskan bahawa Kementerian Haji Arab Saudi mula memperkenalkan sistem pendaftaran online E-Hajj yang mana segala pengurusan haji mestilah dibuat melalui sistem berkenaan dan hendaklah dibuat pada tempoh yang ditetapkan.

“Untuk pengetahuan bersama melalui sistem ini nama-nama bakal jemaah haji yang telah membuat pembayaran pakej haji dihadapkan terus ke Kementerian Haji Arab Saudi bagi urusan-urusan pengeluaran visa,” katanya.

Yang Berhormat Pengiran Dato Seri Setia Dr Hj Mohammad menjelaskan, sebelum ini pegawai-pegawai haji yang dilantik oleh kerajaan dikenali sebagai Bi’thah Haji Pentadbiran dan Bi’thah Haji Perubatan. Bagaimanapun, mulai tahun 2013 Kementerian Haji Arab Saudi telah menukar nama Bi’thah Haji kepada Pejabat Maktab Hal Ehwal Haji (Pentadbiran dan Perubatan).

Selaras dengan ketetapan Kementerian Haji Arab Saudi, maka pada tahun ini Pejabat Maktab Hal Ehwal Haji dan klinik-klinik perubatan haji Negara Brunei Darussalam akan dibuat di luar kawasan Markaziah Mekah iaitu di luar kawasan Masjidil Haram kerana hotel-hotel penginapan di dalam markaziah adalah dikhususkan untuk tempat tinggal jemaah-jemaah haji, bukan seperti tahun-tahun sebelumnya di mana pejabat Maktab Hal Ehwal Haji dan klinik-klinik perubatan dibuat di dalam hotel penginapan bersama jemaah-jemaah haji.

Kursus Amali Ibadat Haji adalah merupakan kemuncak bagi kursus ibadat haji mingguan yang telah diadakan di keempat-empat daerah pada setiap hari Jumaat dan Ahad selama 10 kali bermula pada 19 April sehingga 12 Jun 2015.

Kursus tersebut diharap dapat memantapkan pemahaman dan pengetahuan bakal jemaah haji mengenai pelaksanaan manasik ibadat haji khusus cara-caranya.

Turut hadir di majlis berkenaan ialah Timbalan Menteri Hal Ehwal Ugama, Pengiran Dato Paduka Haji Bahrom bin Pengiran Haji Bahar; Kuasa Usaha di Kedutaan Arab Saudi di Brunei Darussalam, setiausaha dan timbalan setiausaha tetap, pegawai-pegawai dan kakitangan di Kementerian Hal Ehwal Ugama dan jabatan-jabatan dibawahnya.

ARTIKEL YANG SAMA