Mantapkan silaturahim kalangan penduduk

Mantapkan silaturahim kalangan penduduk

Oleh Anwar Rosly

KUALA BELAIT, 23 Julai – Sambutan Hari Raya Aidilfitri bukan sahaja peluang berkumpul dan bermaaf-maafan sesama keluarga dan sahabat handai, tetapi juga merapatkan ikatan silaturahim dalam kalangan penduduk kampung.

Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi bin Haji Mohd Shara yang ditemui semasa kunjungna berhari raya berkata bulan Syawal ini memberi peluang kepada masyarakat sekampung untuk saling kenal-mengenali jiran tetangga sendiri dengan berkunjung ke rumah-rumah terbuka, di mana kaum wanitanya juga dapat saling bertukar-tukar makanan dan kuih-muih untuk dihidangkan.

Manakala itu, Ketua Kampung Pandan C, Haji Affandy bin Awang Damit pula menambah, rumah-rumah terbuka ini juga memberi kesempatan kepada majlis perundingan kampung (MPK) itu sendiri untuk mengadakan doa tahlil arwah sekampung dan menyumbangkan amal sedekah dan bantuan asasi kepada anak-anak yatim serta keluarga daif yang tinggal di kampung itu supaya mereka tidak ketinggalan untuk meraikan sambutan hari raya bersama-sama penduduk kampung yang lain.

Dalam pada itu, kedua-dua mereka turut menasihatkan para anak buah kampung masing-masing supaya lebih berwaspada ketika menyambut Hari Raya.

Suasana berhari raya di kediaman Ketua Kampung Pandan C, Kuala Belait, Haji Affandy.
Suasana berhari raya di kediaman Ketua Kampung Pandan C, Kuala Belait, Haji Affandy.
Kemeriahan suasana berhari raya di kediaman Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi.
Kemeriahan suasana berhari raya di kediaman Ketua Kampung Sungai Teraban, Awang Mohd Mersidi.

“Sila ambil langkah berjaga-jaga sebelum meninggalkan rumah apabila keluar berkunjung sanak saudara untuk mengelakkan kecurian dan kebakaran.

“Pintu dan tingkap rumah hendaklah sentiasa di kunci, lampu juga perlu dihidupkan apabila rumah tidak ada penghuni di malam hari.

“Jika meninggalkan rumah dalam tempoh masa yang panjang, penduduk kampung hendaklah memaklumkan kepada jiran, penghulu, ketua kampung atau ketua polis agar mereka dapat memantau rumah semasa ketiadaan mereka,” nasihat Haji Affandy.

Manakala itu, Awang Mohd Mersidi turut mengingatkan penduduk kampung supaya jangan mudah leka dan berhati-hati terutamanya ketika keluar berhari raya.

“Apabila meninggalkan rumah patuhilah nasihat pihak polis mengenai keselamatan rumah dengan memeriksa pintu-pintu serta tingkap, menutup mana-mana elektrik yang tidak dipakai serta mengunci dan menyimpan barang-barang berharga di tempat yang selamat, dan mematuhi jalan lalulintas ketika memandu, tidak kira dalam perjalanan jauh mahupun dekat,” ujarnya.

ARTIKEL YANG SAMA