Mantapkan sistem pengurusan keselamatan

Mantapkan sistem pengurusan keselamatan

Oleh Sim Y. H.

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 23 Ogos – Penubuhan badan berkanun National HSE Governance and Compliant Authority, telah diperkenankan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam, di mana penubuhannya adalah menerusi hasil penemuan daripada siasatan yang dibuat oleh lembaga siasatan mengenai kemalangan yang melibatkan sembilan orang pekerja warga asing di tapak pembinaan Kolej Sains Kuala Belait, Mumong pada 2014.

Dengan penubuhan badan berkanun itu, semua kegiatan yang berhubungan dengan kesihatan, keselamatan dan alam sekitar (HSE) akan ditangani oleh badan autoriti kebangsaan itu.

Perkara itu dinyatakan dalam ucapan Menteri Pembangunan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin bin Abdullah yang dibacakan oleh Timbalan Menteri Pembangunan, Dato Paduka Haji Suhaimi bin Haji Gafar, hari ini.

Dengan adanya badan berkanun baru itu, ia akan menerajui semua kementerian termasuk sektor swasta ke arah anjakan paradigma dalam HSE serta akan menerajui Negara Brunei Darussalam ke arah sebuah negara yang lebih selamat, nyata Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin dalam ucapannya pada Perasmian Persidangan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) dalam Pembinaan 2016 yang berlangsung di Dewan Atria Simpur, Ibu Pejabat Jabatan Kerja Raya, Berakas.

Dalam ucapannya itu, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin berkata, bagi menyokong lagi visi badan berkanun itu, pemimpin-pemimpin dalam Kementerian Pembangunan harus menekankan pentingnya untuk mempromosikan sistem pengurusan keselamatan yang baik dan mantap termasuk penyerahan pelan HSE di peringkat awal bagi mana-mana kegiatan pembinaan sebelum sebarang kerja dijalankan.

Dato Paduka Haji Suhaimi ketika membaca ucapan Menteri Pembangunan selaku wakil peribadinya pada Perasmian Persidangan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) dalam Pembinaan 2016.
Dato Paduka Haji Suhaimi ketika membaca ucapan Menteri Pembangunan selaku wakil peribadinya pada Perasmian Persidangan Kesihatan, Keselamatan, Sekuriti dan Alam Sekitar (HSSE) dalam Pembinaan 2016.

“Saya menyeru semua pihak berkenaan yang relevan, bukan sahaja kontraktor dan konsultan, tetapi semua pihak yang terlibat, untuk mematuhi keperluan ini, supaya dapat mencapai matlamat dan urus tadbir HSE di Brunei Darussalam.”

Terdahulu dalam ucapannya, Yang Berhormat Dato Seri Setia Haji Bahrin mendedahkan statistik kemalangan dalam industri pembinaan yang dikumpulkan oleh Bahagian Kesihatan, Keselamatan dan Alam Sekitar di Jabatan Kerja Raya, menyatakan bahawa terdapat pengurangan kira-kira 41 peratus daripada jumlah bilang kes kemalangan yang direkodkan iaitu daripada 95 kes pada 2014 kepada 56 kes pada 2015.

“Walau bagaimanapun, kes-kes kematian di tempat pembinaan meningkat daripada enam kes dalam tahun 2014 kepada sembilan kes pada tahun 2015.”

Tambahnya lagi, “Walaupun jumlah peratus kematian hanya sekitar 0.4 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian yang dicatatkan pada tahun 2014, perkara ini masih membimbangkan pihak kementerian ini oleh sebab sasaran pihak kementerian akan lebih sukar untuk mencapai tahap kematian sifar.”

Sementara itu, daripada jumlah keseluruhan kematian yang berdaftar dalam buku Brunei Darussalam Vital Statistic 2014, iaitu seramai 1,470 kematian, penyakit kanser adalah penyebab utama kematian dengan 20.4 peratus diikuti oleh penyakit jantung sebanyak 15.4 peratus.

Manakala itu, 4.4 peratus daripada penyakit darah tinggi dan 1.9 peratus daripada jumlah kematian disebabkan oleh kemalangan kenderaan.

“Sementara itu, 34.1 peratus daripada jumlah keseluruhan kematian di negara ini adalah disebabkan oleh lain-lain sebab termasuk ‘Work-Related Diseases,’ jatuh dari kawasan tinggi dan sebagainya yang bukan dalam industri pembinaan.”

Beliau percaya dengan adanya perbincangan mengenai kesihatan dan keselamatan di persidangan itu, ia akan dapat mengurangkan peratus kematian akibat kecederaan dan kemalangan di sektor industri pembinaan.

Beliau turut menyatakan bahawa persidangan itu akan dapat memberikan manfaat kepada para peserta di mana ia boleh memupuk perubahan dalam diri mereka untuk merancang dan melaksanakan program pencegahan untuk meningkatkan lagi amalan kerja mereka ke arah budaya kerja yang selamat dan sihat bagi organisasi mereka.

Katanya, program-program pencegahan akan dilaksanakan melalui mengenal pasti bahaya, penilaian risiko bagi kegiatan seharian sambil menumpu kepada penyebab utama kemalangan dan penggunaan pengurusan risiko.

Dalam hubungan itu, Yang Berhormat Dato menyeru semua pihak dalam kementeriannya dan juga semua tenaga kerja dari organisasi masing-masing untuk mula mengenal pasti pentingnya keselamatan dan kesihatan, selaras dengan Perintah Kesihatan dan Keselamatan Tempat Kerja 2009 dan Peraturan 2014 serta untuk memimpin secara strategik organisasi mereka ke arah budaya keselamatan berdaya tahan.

ARTIKEL YANG SAMA