Manusia Akar jalani pembedahan

Manusia Akar jalani pembedahan

DHAKA, 31 Jan – Seorang ayah warga Bangladesh digelar ‘manusia akar atau pokok’ disebabkan ketuat seperti kulit kayu di jari tangan dan kakinya, akhirnya akan menjalani pembedahan untuk membuang ketumbuhan itu yang mula muncul 10 tahun lalu, menurut sebuah hospital hari ini.

Abul Bajandar, dari daerah selatan Khulna, menjalani persediaan bagi pembedahan memotong ketumbuhan seberat kira-kira 5 kg (11 paun) yang telah melitupi semua jari kaki dan tangannya.

“Pada awalnya, saya fikir ia tidak berbahaya,” katanya yang berusia 26 tahun memberitahu AFP di Hospital Kolej Perubatan Dhaka (DMCH).

“Namun akhirnya saya hilang upaya untuk melakukan kerja. Terdapat berpuluh-puluh akar berukuran dua ke tiga inci di kedua-dua tangan saya. Dan terdapat yang kecil di kaki saya,” kata Bajandar yang terpaksa berhenti kerja sebagai penarik basikal.

Sepasukan doktor telah dibentuk untuk melakukan pembedahan di DMCH, hospital milik kerajaan yang terbesar di Bangladesh, yang memutuskan untuk mengetepikan kos pembiayaan rawatan itu.

Abul Bajandar (kiri), 26, digelar ‘Manusia Akar’ disebabkan ketuat di jari tangan dan kakinya akan menjalani pembedahan tidak lama lagi. – AFP
Abul Bajandar (kiri), 26, digelar ‘Manusia Akar’ disebabkan ketuat di jari tangan dan kakinya akan menjalani pembedahan tidak lama lagi. – AFP

Ujian sedang dijalankan untuk memastikan ketuat Bajandar seperti akar itu boleh dibuang menerusi pembedahan tanpa merosakkan mana-mana urat saraf besar atau mengakibatkan sebarang masalah kesihatan lain.

Ketuat besar itu, yang pertama kali muncul apabila dia masih remaja namun mula merebak semakin pantas empat tahun lalu, telah didiagnosis sebagai epidermodisplasia veruciformis, satu penyakit kulit genetik luar biasa yang menjadikan seseorang itu mudah diserang ketumbuhan kulit.

“Umumnya ia digelar sebagai penyakit manusia akar atau pokok,” Pengarah DMCH, Samanta Lal Sen memberitahu AFP.

“Sejauh yang kita ketahui terdapat tiga kes serupa itu di dunia termasuk Abul Bajandar. Ia adalah pertama kali kami menemui kes luar biasa itu di Bangladesh,” katanya.

Sementara itu, seorang penduduk Indonesia yang juga memiliki ketuat di seluruh badannya telah menjalani beberapa siri pembedahan pada 2008 untuk membuangnya telah disahkan meninggal dunia kelmarin di Hospital Hasan Sadikin (RSHS), Indonesia.

Sehingga kini, tiada kenyataan rasmi dikeluarkan oleh pihak RSHS mengenai punca kematian Dede Koswara, 52, yang menderita penyakit ganjil serupa Bajandar.

“Dia menghembuskan nafas terakhir pukul 3.30 pagi waktu tempatan,” kata jurucakap RSHS, Dr. Nurul Wulanshani.

Dede yang berasal dari Kabupaten Bandung pernah menjalani rawatan bagi membuang ketuat seberat 13.2 kilogram itu beberapa tahun lalu di hospital sama.

Ketuat seperti akar dan kulit pokok itu mula tumbuh di badan Dede ketika dia berumur 15 tahun selepas mengalami luka pada kakinya. – Agensi/AFP