Manuskrip warisan intelektual Melayu

Manuskrip warisan intelektual Melayu

Oleh Mohamad Asyramisyanie

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 21 Sept – Pusat Pengkajian Borneo (PenBORNEO) hari ini mengadakan Bengkel Asas Memulihara dan Mentransliterasikan Manuskrip Melayu Tahun 2015 yang julung-julung kali diadakan, bertujuan memberi kefahaman mengenai peranan manuskrip Melayu sebagai warisan intelektual Melayu yang penting untuk dipelihara dan dikaji sebagai bahan rujukan orang ramai.

Bengkel selama tiga hari itu yang berlangsung di pusat berkenaan di Berakas dirasmikan oleh Pemangku Pengarah Kebudayaan dan Kesenian, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan, Hajah Fatimah binti Haji Aji.

Pegawai Sejarah Kanan, Hajah Fatimah binti Mohd Daud berkata, bengkel ini merupakan salah satu usaha Bahagian Pusat Pengkajian Borneo memberigakan kepentingan manuskrip sebagai sumber sejarah yang tersimpan.

“Jika manuskrip yang mempunyai nilai sejarah ini tidak dipelihara dengan cermat maka hilanglah bahan bukti dan sumber rujukan yang boleh digunakan oleh penyelidik dan generasi akan datang, dan pastinya akan memberikan kerugian besar kepada negara,” ujar Hajah Fatimah.

Menurutnya bengkel seumpama ini juga boleh memberikan pendedahan dan menarik minat khususnya generasi belia dan sejarawan untuk membuat kajian dan penulisan mengenai manuskrip Melayu.

Tetamu kehormat majlis (empat dari kiri) mendengar ucapan pengerusi.
Tetamu kehormat majlis (empat dari kiri) mendengar ucapan pengerusi.
Hajah Fatimah menyampaikan ucapan.
Hajah Fatimah menyampaikan ucapan.
Antara peserta yang terlibat di dalam bengkel yang pertama kali diadakan itu.
Antara peserta yang terlibat di dalam bengkel yang pertama kali diadakan itu.

Manuskrip Melayu menggambarkan persejarahan dan merupakan bukti sumber tempatan, dan sumber inilah yang perlu dikaji dan dianalisis dengan pemikiran yang kritis dan melalui sumber ini juga boleh menghasilkan sebuah penulisan sejarah tanah air yang mantap.

Bengkel tersebut juga merupakan salah satu aktiviti ke arah menyokong Bulan Bahasa 2015 yang dilancarkan Julai lalu dan secara tidak langsung memberikan peluang kepada para pegawai, kakitangan serta mahasiswa dan mahasiswi untuk menimba ilmu pengetahuan dan pengalaman mengenai asas pemuliharaan dan mentransliterasikan manuskrip Melayu.

Para peserta bengkel didedahkan kepada beberapa pembentangan kertas kerja yang berkaitan dengan koleksi manuskrip, pemeliharaan dan pemuliharaan manuskrip serta praktikal yang menjadi amalan kini.

Selain dari itu, peserta turut didedahkan kepada khat Jawi di dalam manuskrip serta terlibat dalam perbincangan dan penyediaan laporan bengkel ini.

Antara penceramah bengkel ialah Profesor Madya Ampuan Dr Haji Brahim bin Ampuan Haji Tengah, Dayang Mardiah binti Haji Ramli, Haji Azly bin Haji Tuah, Haji Yaakub bin Haji Mohammad Yassin dan Awang Alomsa Nor Adzmin bin Haji Ali Omar.

ARTIKEL YANG SAMA