MAPS berwawasan global

MAPS berwawasan global

PUTRAJAYA, 2 Jun (Bernama) – Movie Animation Park Studios (MAPS), taman tema animasi pertama Asia yang dijangka beroperasi seawal Mac tahun depan di Ipoh, berhasrat melahirkan tenaga kerja tempatan berkemahiran penuh dalam mengendalikan taman tema bertaraf antarabangsa.

Pengasas Animation Theme Park Sdn Bhd, Ramelle Ramli berkata matlamat itu akan direalisasikan menerusi kerjasama MAPS serta Kementerian Belia dan Sukan (KBS) melalui Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN).

Melalui memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai hari ini antara MAPS dan KBS, MAPS akan melatih sekurang-kurangnya 40 pelajar IKBN setiap tahun, katanya kepada media selepas majlis itu, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin serta Ketua Pegawai Eksekutif MAPS Darren McLean.

Ramelle berkata MAPS juga akan menyediakan 20 pekerjaan sepenuh masa untuk lulusan IKBN pada setiap tahun dengan kadar gaji lima hingga 10 peratus lebih tinggi berbanding pasaran.

Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama maskot-maskot watak animasi selepas menyaksikan majlis menandatangan persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Movies Animation Park Studios (MAPS) kelmarin. – Bernama
Khairy Jamaluddin Abu Bakar bersama maskot-maskot watak animasi selepas menyaksikan majlis menandatangan persefahaman antara Kementerian Belia dan Sukan dengan Movies Animation Park Studios (MAPS) kelmarin. – Bernama

Selain itu MAPS juga akan dikendalikan hampir sepenuhnya oleh tenaga kerja tempatan, katanya.

“Untuk fasa pertama MAPS akan mengambil 400 tenaga kerja dan bagi fasa kedua pula kita perlukan sekitar 600 lagi,” kata Ramelle.

Sementara itu Khairy berkata kerjasama tersebut merupakan sebahagian pelan transformasi IKBN dalam menjalin kerjasama lebih rapat dengan sektor swasta selain memperluas pasaran kerja untuk lulusan IKBN.

“Melalui kerjasama sebegini juga kita dapat belajar dengan sektor swasta berkenaan modul latihan yang diperlukan dan harapan mereka terhadap pelatih IKBN,” katanya.

Taman MAPS yang mempertaruhkan tarikan seperti “Live Adventure Zone – Casper The Friendly Ghosts”, “Mr Peabody & Sherman”, Megamind serta penampilan animasi tempatan BoBoiBoy dijangka mampu menarik 1.4 juta pengunjung pada tahun pertama operasinya.

Animation Theme Park adalah pemaju, pemilik dan pengoperasi taman tema MAPS yang turut bekerjasama dengan PCB Development Sdn Bhd dan Sanderson Project Development Malaysia Sdn Bhd.

ARTIKEL YANG SAMA