Maradona: Blatter ajar Platini mencuri

Maradona: Blatter ajar Platini mencuri

ROM, 16 Sept (AFP) – Bekas superstar Argentina Diego Maradona semalam menyelar Presiden FIFA Sepp Blatter dan rakan sejawatannya dari UEFA Michel Platini, yang memburu untuk menggantikan lelaki Switzerland itu sebagai ketua bola sepak dunia.

“Saya di luar semua itu kerana seseorang menggesa Blatter menutup semua pintu untuk saya,” kata bekas pemain hebat Argentina itu memberitahu stesen televisyen Naples PiuEnne.

“Tetapi saya bukan seorang pencuri. Blatter melakukan banyak kemudaratan kepada bola sepak, dan Platini pula adalah sandiwara. Mereka berpura-pura berpisah, seorang di FIFA dan seorang lagi di UEFA, tetapi mereka sebenarnya sentiasa berdampingan,” kata Maradona.

“Jika kita mahukan FIFA yang telus, kita tidak boleh mengundi Platini yang rapat dengan Blatter yang mengajar lelaki Perancis itu bagaimana untuk mencuri,” tambah pemenang Piala Dunia 1986 dalam petikan yang diterbitkan oleh harian sukan Corriere dello Sport.

Maradona, 54, berkata beliau mempunyai satu perjanjian dengan seorang lagi calon untuk jawatan presiden FIFA, Putera Ali dari Jordan, yang akan bertanding dalam pilihan raya 26 Februari depan.

“Jika beliau menang pilihan raya, saya akan berada di sisi beliau sebagai naib presiden,” kata bekas bintang Napoli dan Barcelona itu.