Maradona jumpa pengadil benarkan gol ‘tangan tuhan’

Maradona jumpa pengadil benarkan gol ‘tangan tuhan’

TUNIS, Tunisia, 19 Ogos – Diego Maradona memeluk dan mencium pengadil yang membenarkan jaringannya menggunakan tangan pada Piala Dunia 1986 dan memberikan dia jersi Argentina ditandatanganinya apabila kedua-duanya bertemu di sini, semalam waktu Tunisia.

Jaringan Maradona pada suku akhir ketika menentang England di Mexico City itu, menjadi masyhur selepas pemain bertubuh kecil itu menumbuk bola di atas kepalanya ketika berdepan penjaga gol Peter Shilton, yang kemudian didakwanya dijaringkan oleh ‘tangan tuhan’.

Pengadil dari Tunisia, Ali Bennaceur gagal mengesan bola yang terkena tangan itu dan membenarkan gol berkenaan.

Keputusannya itu menyebabkan ia menerima bantahan keras daripada pemain England sejurus selepas itu, selain debat yang masih berlaku sehingga sekarang mengenai penggunaan pengadil dari negara kecil untuk perlawanan besar.

Dan kedua-duanya bertukar cenderamata ketika pertemuan itu di sini, yang turut dirakamkan di depan kamera.

Bennaceur memberikan bekas ketua pasukan Argentina itu sekeping gambar yang memaparkan dirinya bersama Maradona dan Shilton, yang mengetuai pasukan England ketika itu, sebelum aksi antara kedua-dua pasukan di Stadium Azteca bermula.

Sebagai balasan, bekas pengadil berusia 71 tahun itu menerima jersi Maradona dengan terpapar tulisan ‘Untuk Ali, sahabat selamanya’.

Dalam satu temubual sebelum ini, Bennaceur dilapor menyalahkan pembantunya dari Bulgaria, Bogdan Dotchev kerana gagal memaklumkannya mengenai tindakan Maradona menumbuk bola melepasi Shilton bagi membolehkan Argentina mendahului England dalam perlawanan berkenaan, sebelum memenangi dengan keputusan 2-1.

“Sebelum perlawanan, FIFA memberi kami garis panduan yang jelas. Sekiranya rakan anda berada pada kedudukan lebih baik berbanding anda, maka keputusannya harus lebih dulu diambil kira. – Reuters

ARTIKEL YANG SAMA