Maradona ‘seronok’ ikuti skandal rasuah FIFA

Maradona ‘seronok’ ikuti skandal rasuah FIFA

BUENOS AIRES, 28 Mei (Reuters) – Lagenda bola sepak dunia, Diego Maradona berkata beliau ‘seronok’ mengikuti perkembangan terbaharu melanda Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) dengan beberapa pegawai tertingginya didakwa atas kesalahan rasuah.

Ini susulan pengumuman pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) dan Switzerland bahawa mereka sedang menjalankan siasatan ke atas badan bola sepak tertinggi dunia itu semalam.

Maradona yang menjulang Piala Dunia pada 1986 bersama Argentina dengan kerjaya bola sepaknya berakhir kerana penyalah gunaan dadah dan ketagihan arak, berkata tiba masanya untuk FIFA berhenti daripada terus berbohong dan sebaliknya menyatakan kebenaran.

“Akhirnya hari ini muncul kebenaran dan saya amat seronok,” kata Maradona kepada radio televisyen Argentina, La Red.

Pihak berkuasa Amerika Syarikat semalam mengumumkan sembilan pegawai bola sepak dan lima eksekutif media dan promosi sukan ditahan untuk didakwa terbabit dalam skandal rasuah bernilai lebih AS$150 juta.

Diego Maradona ketika menghadiri Forum Soccerex Asia di Jordan 4 Mei lalu. – Reuters
Diego Maradona ketika menghadiri Forum Soccerex Asia di Jordan 4 Mei lalu. – Reuters

Siasatan mendapati skandal itu membabitkan skim pengubahan wang haram.

Pihak berkuasa Switzerland pula menahan tujuh orang.

Mereka yang ditahan bagaimanapun tidak termasuk Presiden FIFA, Sepp Blatter, individu yang sering dikecam Maradona mengenai cara mentadbir FIFA dan terbaru menuduh Blatter memimpin FIFA sebagai seorang mafia.

“Mereka benci bola sepak. Mereka benci ketelusan. Cukup-cukuplah menyorokkan kebenaran. Cukup-cukuplah menipu orang ramai,” kata Maradona.

ARTIKEL YANG SAMA