Maradona tanding jawatan Presiden FIFA

Maradona tanding jawatan Presiden FIFA

MONTEVIDEO, 22 Jun – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona, akan bertanding merebut jawatan Presiden FIFA bagi mengantikan Sepp Blatter, kata wartawan dan penulis terkenal Uruguay, Victor Hugo Morales.

Katanya, Maradona menyatakan hasratnya itu ketika dia menghubungi bekas pembimbing pasukan kebangsaan Argentina berkenaan semalam, bagi bertanyakan khabar mengenai keadaan bapanya yang sedang sakit.

“Dia memberitahu saya, dia akan bertanding jawatan Presiden FIFA dan memberi kebenaran saya untuk menyebarkannya,” kata Morales menerusi entri terbaharu di Twitter dalam bahasa Sepanyol (https://twitter.com/vh590).

“Saya adalah calon, adalah dua perkataan yang disebut Diego Maradona ketika saya bertanyakan mengenai calon yang akan bertanding untuk jawatan Presiden FIFA,” katanya menerusi satu lagi entri baharu menerusi Twitter.

Presiden Venezuela, Nicolas Maduro pada awal bulan ini, mencadangkan supaya Maradona menjadi Presiden FIFA yang baharu.

Gambar fail 28 Februari 2015 menunjukkan Maradona ketika mengambil bahagian dalam satu rancangan TV di Caracas. - AFP
Gambar fail 28 Februari 2015 menunjukkan Maradona ketika mengambil bahagian dalam satu rancangan TV di Caracas. – AFP

Maradona, 54, sejak dahulu tidak sebulu dengan Blatter dan bulan lalu, dia berkata ‘seronok’ dengan skandal rasuah yang menyebabkan pemimpin dari Switzerland itu meletak jawatan dalam kongres luar biasa badan induk bola sepak dunia itu. Seperti Zico, seorang lagi legenda bola sepak yang sebelum ini menyatakan hasrat untuk bertanding jawatan berkenaan, Maradona juga dijangka berdepan masalah untuk mendapat sokongan daripada persekutuan bola sepak lima negara seperti disyaratkan peraturan FIFA.

Sebelum ini, Pengerusi Persatuan Bola Sepak Liberia, Musa Bility turut mengumumkan hasrat untuk menggantikan Blatter.

Morales, terkenal di negara Latin berikutan komentarnya mengenai jaringan Maradona ketika Argentina menewaskan England pada Piala Dunia 1986. Maradona berjaya membawa negaranya muncul juara pada temasya itu.

Morales dan Maradona bergandingan menjadi hos di stesen televisyen Telesur, Venezuela ketika berlangsungnya Piala Dunia di Brazil tahun lalu. – Reuters