Maradona terima anugerah Nicaragua

Maradona terima anugerah Nicaragua

MANAGUA, 21 April – Legenda bola sepak Argentina, Diego Maradona diberi penghormatan oleh presiden Nicaragua, Daniel Ortega apabila dikurniakan anugerah tertinggi oleh negara Amerika Tengah itu ketika Maradona melakukan lawatan bersama teman wanita, Rocio Oliva.

Laman sesawang rasmi kerajaan Nicaragua, El 19 melaporkan semalam bahawa Ortega memberikan Maradona anugerah insignia of the Order of Augusto Cesar Sandino, sambil memuji pemain itu sebagai “pejuang, pahlawan keamanan dan keadilan” ketika majlis tertutup di pejabatnya, kelmarin.

Gambar ketika majlis berkenaan menunjukkan Maradona yang memakai baju hitam, memeluk Ortega sebelum mencium pingat berkenaan sebagai tanda penghargaan.

“Terima kasih Daniel, saya akan menjaganya sama seperti yang pernah saya dapat pada ‘86 – seperti Piala Dunia,” kata Maradona sambil menyebut kejayaan Argentina pada Piala Dunia ketika itu.

Kurniaan tertinggi presiden itu diberikan kepada Maradona kerana “kehebatan dalam sukan dan kualiti sebagai manusia” selain hubungan rapat dengan pemimpin revolusi Cuba, Fidel Castro serta Hugo Chavez, bekas presiden haluan kiri Venezuela.

Diego Maradona menerima anugerah Insignia of the Order of Augusto Cesar Sandino dari Presiden Daniel Ortega di Managua, kelmarin. – AFP
Diego Maradona menerima anugerah Insignia of the Order of Augusto Cesar Sandino dari Presiden Daniel Ortega di Managua, kelmarin. – AFP

Maradona, 55, Ahad lalu mendedahkan di laman Facebook beliau bahawa beliau bercuti di Nicaragua.

Idola bola sepak yang dianggap sebagai salah seorang pemain terhebat sepanjang zaman itu melawat tempat-tempat seperti Plaza de La Revolution dan Istana Negara di pusat bersejarah ibu negara Nicaragua.

Beliau juga bercakap dengan beberapa pemain muda bermain di taman Managua sambil memberitahu mereka bola sepak telah membawa kegembiraan kepada hidupnya.

“Sesetengah orang mengatakan saya yang terbaik, kemudian mereka bercakap mengenai Messi, Ronaldo dan ramai lagi,” katanya kepada budak-budak. “Saya tidak peduli!

“Saya bermain, saya seronok. Saya menjaringkan gol, saya menewaskan penjaga gol, menewaskan pertahanan. Saya benar-benar seronok.” – AFP