Maradona tidak mahu Messi bersara

Maradona tidak mahu Messi bersara

BUENOS AIRES, 28 Jun (AP) – Meskipun Lionel Messi sudah tiba di negaranya, namun beliau enggan memberikan sebarang pengumuman mengenai persaraannya daripada arena bola sepak antarabangsa selepas gagal membantu Argentina untuk menjuarai Copa America Centenario, apabila tewas dalam penalti penentuan 4-2 di tangan Chile, kelmarin.

Puluhan penyokong Argentina yang menunggunya dengan memakai jersi kebangsaan sanggup berhujan untuk memberikan sokongan kepada pemain terbaik dunia itu. Ada peminat mengekori bas pasukan kebangsaan dari lapangan terbang ke kompleks Persatuan Bola sepak Argentina (AFA) sambil melaungkan kata-kata semangat supaya Messi tidak meninggalkan pasukan kebangsaan.

Terdapat juga penyokong yang membawa sepanduk dengan tulisan: “Messi: I love you more than I love my mom” (Messi: Saya lebih sayangkan anda berbanding ibu saya).

Meskipun Messi tidak kelihatan menaiki bas berkenaan, jurucakap AFA, Ernesto Cherquis Bialo mengesahkan kepada AP bahawa Messi sudah tiba ke Buenos Aires bersama pemain lain.

Gambar fail - Diego Maradona (kanan) bersama Lionel Messi ketika mengendalikan skuad Argentina pada tahun 2010. – AFP
Gambar fail – Diego Maradona (kanan) bersama Lionel Messi ketika mengendalikan skuad Argentina pada tahun 2010. – AFP

Sebelum ini, penyokong bola sepak Argentina termasuk Presidennya serta bekas bintang, Diego Maradona mahu Messi menarik balik hasratnya meninggalkan pasukan kebangsaan.

Maradona yang sebelum ini pernah mendakwa Messi tiada perwatakan memimpin pasukan kebangsaan berubah nada apabila meminta pemain terbaik dunia empat kali itu kembali ke pasukan kebangsaan. “Dia mesti teruskan. Dia mesti teruskan kerana tugas itu akan membawanya ke Rusia dan muncul juara dunia,”katanya.

Argentina akan berdepan Uruguay pada pusingan kelayakan Piala Dunia 2018 September depan. Argentina muncul juara Piala Dunia 1978 dan 1986 dan menyambar trofi Copa America terakhir pada 1993.

ARTIKEL YANG SAMA