Marahkan labah-labah disangka berkelahi

Marahkan labah-labah disangka berkelahi

SYDNEY, 27 Nov (AFP) – Teriakan dan jeritan, “Saya akan bunuh awak” membuatkan polis Australia bergegas ke sebuah rumah di Sydney pada jam 2 pagi, hanya untuk menjumpai seorang lelaki dewasa dan seekor labah-labah.

Polis New South Wales berkata para pegawai bergegas ke sebuah apartmen di pelabuhan pinggir bandar Wollstonecraft Sabtu lepas selepas menerima laporan berlakunya pertelingkahan di antara seorang lelaki dan wanita.

Jiran-jiran melaporkan seorang wanita menjerit seperti histeria, seorang lelaki menjerit, “Saya akan bunuh awak, awak akan mati! Mati, Mati” dan kedengaran perabot dilontar merata-rata.

“Beberapa kereta polis bertindak balas ke alamat itu dan mula menghentak-hentak pintu,” Polis kawasan Harbourside berkata pada laman Facebook mereka.

Seorang lelaki dalam lingkungan 30-an, dalam keadaan letih, membuka pintu dan serta-merta ditanya di mana isterinya atau teman wanitanya.

“Saya belum berpunya,” jawabnya.

Apabila pihak polis menjelaskan mereka mendapat laporan seorang wanita menjerit, dia membalas: “Saya tidak tahu apa yang kamu katakan, saya tinggal berseorangan”.

Ketika ditekan mengenai ancaman membunuh, lelaki tersebut mula malu-malu dan meminta maaf atas menyebabkan kekecohan.

“Ia adalah seekor labah-labah. Labah-labah yang sangat besar!!,” katanya, mengakui dia mengejar seekor labah-labah besar dalam apartmennya dengan penyembur serangga.

Ditanya mengenai jeritan wanita, dia membalas: “Maaf, itu suara saya, saya begitu benci labah-labah.”

Pihak berkuasa tidak mampu menjawab labah-labah apa yang terlibat, memandangkan ia telah mati dibunuh oleh lelaki itu.

ARTIKEL YANG SAMA