Maraton Beach Bunch lebih mencabar

Maraton Beach Bunch lebih mencabar

Oleh Syahmi Hassan

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 26 Feb – Beach Bunch yang mengadakan edisi kedua ‘Beach Bunch Trail Challenge’ Ahad ini (28 Februari), bukan saja mengadakan separa maraton 21 km, tetapi juga maraton rintis penuh dengan jarak 42.8km.

Perlumbaan maraton yang bermula dan berakhir di Pantai Tungku, akan membawa para pesertanya meredah hutan, pasir pantai, dan bukit-bukau dengan ketinggian sederhana 650 meter.

Pelari maraton penuh akan dikehendaki melalui kesemua 14 bukit di Taman Rekreasi Hutan Bukit Shahbandar, McFarm, dan juga di sepanjang laluan dari Pantai Tungku ke Pantai Berakas.

Seramai 330 peserta dari 20 negara berlainan akan menyertai cabaran berkenaan termasuk beberapa pelari berprofil tinggi ultra-trail dari Malaysia dan Hong Kong, dan tidak lupa juga golongan elit tempatan.

Tidak seperti edisi pertamanya, tahun ini Beach Bunch telah bekerjasama dengan Asia Trail Master sebagai pengurusan acara rasmi sukan serantau mereka.

Awang Rizan Latif (tiga dari kanan) bersama rakan kongsi rasmi Beach Bunch yang hadir pada Sidang Media Beach Bunch Trail Challenge 2016, kelmarin.
Awang Rizan Latif (tiga dari kanan) bersama rakan kongsi rasmi Beach Bunch yang hadir pada Sidang Media Beach Bunch Trail Challenge 2016, kelmarin.

Buat kali pertama, Brunei akan menjadi sebahagian daripada siri Asia Trail Master sebagai perlumbaan mata jaringan yang kedua selepas Ultra Trail Hong Kong baru-baru ini.

Ini bermakna kesemua yang akan menamatkan perlumbaan akan beroleh mata untuk kedudukan kejohanan, serta mata prestasi individu mereka sendiri, sekali gus menarik bukan sahaja penduduk tempatan tetapi juga peserta antarabangsa dari negara-negara seperti Hong Kong, Malaysia, United Kingdom dan sebagainya.

Turut bekerjasama adalah RaceMatix sebagai rakan kongsi rasmi masa untuk kedua-dua kategori.

Pengarah Perlumbaan dan Presiden Beach Bunch, Awang Rizan Latif yang juga pelari ultra-trail telah membuat persediaan sejak dua bulan lalu dengan menganjurkan klinik berjalan untuk menyediakan tip-tip keselamatan serta membantu pelari membiasakan diri dengan laluan perlumbaan.

Awang Rizan turut menasihatkan kepada para peserta untuk mengambil Pek Acara Perlumbaan mereka dua hari sebelum perlumbaan dan menekankan bahawa Pek Koleksi Acara Perlumbaan (REPC) adalah lebih ketat daripada tahun lepas, di mana hanya peserta sendiri dibenarkan untuk mengumpulkan REPC mereka kerana sebahagian daripada keperluan ini adalah untuk mengemukakan kit mandatori mereka sendiri untuk pemeriksaan nanti.

Acara yang disokong oleh Jabatan Kemajuan Pelancongan dan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan dan sebahagian daripada aktiviti Sambutan Hari Kebangsaan ke-32 telah melibatkan lebih 200 sukarelawan yang bertujuan untuk melindungi pantai Brunei daripada pencemaran sisa, termasuk hidupan liar di persisiran pantai, dan juga untuk menggalakkan gaya hidup sihat.

Acara ini juga menawarkan peserta antarabangsa peluang untuk melawat Brunei, (Land of Unexpected Treasures), buat kali pertama.

ARTIKEL YANG SAMA