March United bertemu kembali

March United bertemu kembali

Oleh Normazlina M.D

TUTONG, 27 Mei – Seramai 40 orang petang tadi berkumpul bagi menghadiri majlis perjumpaan kembali Kelab Bola Sepak March United di Bilik Mesyuarat, Kompleks Sukan Tutong.

Hadir selaku tetamu khas di majlis itu ialah Eksekutif Jawatankuasa Persatuan Bola Sepak Kebangsaan Negara Brunei Darussalam, Awang Morni bin Haji Zakaria selaku penjawat Jawatankuasa Setiausaha Agong Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Belait.

Turut hadir ialah Ketua Cawangan Belia dan Sukan, Awang Kamil bin Lamat; Yang Di-Pertua Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong, Haji Othman bin Haji Ghazali serta pengadil-pengadil Daerah Tutong, dan bekas Yang Di-Pertua Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong, Haji Musa bin Haji Libut.

Majlis turut mengadakan bacaan Tahlil dan Doa Arwah bagi mengingati dan mengenang jasa rakan-rakan Kelab March United yang telah kembali ke rahmatullah.

Gambar ramai bekas Kelab Bola Sepak March United.
Gambar ramai bekas Kelab Bola Sepak March United.

Kelab Bola Sepak March United wujud dan didaftarkan ke Persatuan Bola Sepak Amatur Daerah Tutong (TDAFA) pada 18 Mac 1982 dan nama kelab ini wujud bersempena dengan kepergian salah seorang pemain bola Sepak March United yang telah kembali ke rahmatullah pada bulan Mac pada tahun itu.

Pada tahun 1980-an, beberapa pencapaian telah dicapai oleh pasukan tersebut, antaranya ialah pasukan tersebut pernah menjuarai Juara Liga TDAFA Divisyen 4 pada tahun 1985 dan tahun 1986, pernah menjuarai Piala Real Pena Tahun 1987 dan pernah menjuarai Perlawanan 7 kali Sepasukan Anjuran Persatuan Melayu Keriam (PESAKA) dalam acara Sambutan Perayaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

Adapun tujuan majlis ini diadakan adalah untuk mengimbau kembali masa silam sejarah Kelab March United di samping mengeratkan lagi hubungan pasukan March United yang mana ahli-ahlinya sudah pun berusia lanjut.

ARTIKEL YANG SAMA