Mare Dibaba pelari marathon terpantas

Mare Dibaba pelari marathon terpantas

BEIJING, 31 Ogos (AFP) – Atlet Habsyah Mare Dibaba mengesahkan statusnya selaku pelari maraton terpantas dunia apabila menjuarai acara itu di Beijing, semalam.

Mare mencatat masa 2:27.35, sekali gus mengatasi atlet Kenya Helah Kiprop dengan kelebihan satu saat selepas memecut ke garisan penamat ketika saingan berbaki 50 meter.

Atlet kelahiran Kenya Bahraini Eunice Kirwa memenangi gangsa dengan catatan 2:27.39, manakala juara bertahan Edna Kiplagat hanya berakhir di tempat kelima (2:28.18), di belakang rakan senegara Jemima Sumgong (2:27.42).

“Saya yakin muncul juara selepas berjaya membuat pecutan di pusingan terakhir,” kata Mare.

Mare mula menjarakkan diri dari kelompok atlet lain ketika saingan berbaki lima kilometer dan ia nyata terlalu pantas buat Kiplagat yang ketinggalan agak jauh. Sumgong turut gagal mengejar dan saingan sengit hanya membabitkan tiga pelumba.

Mare (kiri) memimpin final marathon di Stadium Sarang Burung Beijing, semalam. – AFP
Mare (kiri) memimpin final marathon di Stadium Sarang Burung Beijing, semalam. – AFP

Kiprop cuba memintas Dibaba, tetapi atlet Habsyah itu memecut meninggalkannya manakala Kirwa turut tidak mampu mengejar.

“Saya mula memecut sebaik kami kembali memasuki stadium!” kata Mare.

“Sejak tiba di Beijing, cuaca agak panas dan saya bimbang ia akan menjejaskan aksi maraton.

“Tetapi, pagi ini cuaca berubah dan ia lebih hampir dengan negara kami, sekali gus memudahkan saya untuk membuat pecutan. “Mulai sekarang, saya akan menumpukan perhatian kepada latihan sebelum Olimpik Rio,” katanya.