Margin makanan, minuman Asia hadapi risiko

Margin makanan, minuman Asia hadapi risiko

SINGAPURA, 31 Ogos – Trend harga gula yang tinggi dijangka berterusan untuk beberapa suku tahun akan datang dan akan memberi kesan yang ketara kepada margin makanan dan minuman Asia, menurut laporan terkini Rabobank, ‘Hurry Cane: Managing Higher Sugar Prices in Asia’.

Laporan itu menyatakan harga gula mentah dunia meningkat sebanyak 30 peratus sejak pertengahan April, daripada AS$14.3 c/lb kepada AS$18.8 c/lb (asas niaga hadapan Julai), apabila pasaran mengambil kira potensi pengeluaran gula global yang rendah pada 2016/17.

Rabobank berkata harga gula domestik di Asia juga mula menunjukkan asas yang kukuh dan rantau ini dijangka mengalami defisit gula yang pertama dalam tempoh lima tahun.

Pengeluaran gula di Asia dijangka rendah pada 2016/2017, berikutan kemarau akibat El Nino pada 2015 menyebabkan pengeluaran susut kepada paras terendah dalam tempoh lima tahun, menurut laporan itu.

Pada 2015/2016, Rabobank mengunjurkan Asia akan menyaksikan defisit gula yang pertama dengan anggaran dua juta tan dalam tempoh lima tahun.

Pada peringkat global, selain Eropah dan Brazil mengunjurkan untuk menyaksikan pengeluaran yang lebih baik pada tahun depan, Rabobank menjangka defisit gula dunia sebanyak 5.5 juta tan pada musim yang akan datang.

Rabobank juga berkata minuman ringan menjadi antara pemacu jumlah dagangan paling penting bagi penggunaan gula di Asia.

Selain unjuran pertumbuhan penggunaan minuman ringan di Asia dikurangkan, Rabobank menjangka pertumbuhan kekal mendahului di kebanyakan rantau lain.

Tenusu — terutamanya susu pekat dan aiskrim — dan kuih-muih, segmen utama lain dijangka meningkat pada kadar stabil dalam masa terdekat.

Bagi segmen makanan dan minuman dengan dengan pendedahan yang ketara kepada pemanis, pertumbuhan Asia secara keseluruhan adalah 8.5 peratus berbanding pertumbuhan global 3.0 peratus antara 2006 dan 2015. – Bernama

ARTIKEL YANG SAMA