Mari ke Pesta Durian, Bintudoh

Mari ke Pesta Durian, Bintudoh

Oleh Normazlina M.D

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 3 Sept – Bagi memperkenalkan jenis-jenis buah durian dan buah-buahan lain kepada khalayak khususnya masyarakat dan penduduk di negara ini, Pesta Durian dan Buah-Buahan perlu diadakan dan ia sangat berguna untuk memperkenalkan jenis buah-buahan tempatan kepada orang ramai.

Melalui pesta tersebut, Jabatan Pertanian dan agensi-agensi yang terlibat, berusaha untuk memperkenalkan buah-buahan tempatan kepada orang ramai termasuk yang diolah dengan pelbagai produk dan dijadikan beberapa bahan seperti keropok, jus dan kek.

Pesta menarik ini dirasmikan oleh Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama, Yang Berhormat Pehin Orang Kaya Seri Utama Dato Seri Setia Haji Yahya bin Begawan Mudim Dato Paduka Haji Bakar hari ini.

Selain memperkenalkan dan mempromosikan hasil buah durian dan buah-buahan tempatan khasnya di Mukim Lamunin, Daerah Tutong, pesta ini dihasratkan dapat memperkenalkan Bintudoh Greenspring Resort sebagai destinasi pelancongan di negara ini.

Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama ketika melancarkan Pesta Durian dan Buah-Buahan di Bintudoh Greenspring Resort.
Menteri Perindustrian dan Sumber-sumber Utama ketika melancarkan Pesta Durian dan Buah-Buahan di Bintudoh Greenspring Resort.

Dalam masa yang sama, pesta ini boleh dijadikan salah satu program bagi membantu dan mempromosi hasil pengusaha-pengusaha tanaman buah-buahan dan agrimakanan serta menanam sikap daya saing antara mereka agar lebih pro-aktif dalam meningkatkan hasil pengeluaran buah-buahan dan produk-produk berproses.

Pelbagai aktiviti juga disediakan untuk para pengunjung bagi memeriahkan lagi pesta tersebut, antaranya termasuklah Galeri Pameran Industri Buah-buahan dan bidang-bidang yang berkaitan, gerai-gerai jualan pengusaha termasuk gerai “Durian Buffet”, klinik durian, peraduan menggambar, Amazing Race, taklimat kesihatan, acara berbasikal ‘Bikeathon’ pada hari Ahad ini dan banyak lagi.

Antara mereka yang berjaja buah Durian di pesta tersebut.
Antara mereka yang berjaja buah Durian di pesta tersebut.
Para pengunjung berkesempatan menikmati makan buah durian di hari perasmian Pesta Durian dan Buah-buahan.
Para pengunjung berkesempatan menikmati makan buah durian di hari perasmian Pesta Durian dan Buah-buahan.

Melalui Pesta Durian dan Buah-buahan ini, pihak penganjur berharap dapat meningkatkan pendapatan para pengusaha dalam pengeluaran hasil tanaman buah-buahan mereka selain memberikan pendedahan kepada orang ramai tentang 7 spesies durian dan buah-buahan tempatan yang terdapat di negara ini.

Selain itu, para pengusaha diharap akan lebih pro-aktif, lebih berdaya saing dan sekali gus mengambil peluang ini untuk menjadi pengusaha kecil dan sederhana (PKS) serta dapat membuat rangkaian padanan perniagaan (business matching).

Seramai 30 orang pengusaha ikut serta dalam petak gerai jualan pesta tersebut.

Orang ramai dialu-alukan untuk berkunjung ke pesta tersebut khususnya pencinta buah durian dan buah-buahan tempatan yang diadakan bermula 4 Sept hingga 6 Sept ini dari jam 8.30 pagi hingga selesai, di kawasan Bintudoh Greenspring Resort, Jalan Bintudoh, Mukim Lamunin, Tutong.

ARTIKEL YANG SAMA