Marimo akan bangun projek pertama di Malaysia

Marimo akan bangun projek pertama di Malaysia

PUCHONG, 20 Nov – Marimo Land (M) Sdn Bhd hari ini menandatangani perjanjian dengan E&J Group, Ecobuilt (M) Sdn Bhd dan Pembinaan Infra E&J Sdn Bhd untuk membina projek pembangunan pertama di Malaysia dengan nilai pembangunan kasar RM390 juta.

Projek O’hako Residensi yang akan dibangunkan di atas tanah seluas 1.72 hektar di Puchong Jaya, Selangor itu adalah kondominium pegangan bebas yang terdiri daripada dua menara kediaman mengandungi 359 unit setiap satu.

Ketua Pegawai Eksekutif Marimo Land, John Taro Fukugawa berkata, setakat September lalu, 90 peratus daripada unit di Menara A dan 60 peratus unit di Menara B sudah dijual.

“Kedua-dua menara dijangka siap menjelang Disember 2019,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis pemeteraian perjanjian itu di sini, hari ini.

Marimo Land Malaysia adalah syarikat usaha sama di antara Presiden Marimo Co Ltd, Makoto Fukagawa dan Ketua Pegawai Eksekutif Marimo Land Malaysia, John Taro.

Taro berkata, pembangunan tersebut menyatukan semangat inovasi, tradisi dan budaya Jepun dengan lebih 50 kemudahan, termasuk ‘onsen’ (air panas) Jepun. – Benama

ARTIKEL YANG SAMA