Maritah Ke LLRC kembali lagi

Maritah Ke LLRC kembali lagi

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

SERIA, 5 Okt – Dalam usaha berterusan dalam menambah pelbagai kemudahan kepada penduduk mukim dan orang ramai, Kelab Rekreasi Liang Lumut (LLRC) di Mukim Liang sekali lagi telah menganjurkan Karnival Maritah Ke LLRC Siri ke-7 Tahun 2016 yang bermula hari ini.

Pelancaran karnival lima hari yang akan berlangsung sehingga 9 Oktober itu telah disempurnakan oleh Penghulu Mukim Liang, Haji Abdul Hamid bin Haji Momin selaku tetamu kehormat.

Sebanyak 60 buah gerai bagi berbagai aktiviti jualan dalam dan kawasan luar dewan kelab berkenaan telah disediakan sepanjang karnival yang turut dimeriahkan dengan pelbagai acara riadah, sukan, permainan kanak-kanak dan sebagainya.

Karnival berkenaan dibukakan bagi kunjungan orang ramai dari pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Maskot-maskot popular beraksi untuk menghiburkan pengunjung terutama dalam  kalangan kanak-kanak.
Maskot-maskot popular beraksi untuk menghiburkan pengunjung terutama dalam  kalangan kanak-kanak.

Dalam ucapan perasmiannya, Haji Abdul Hamid berkata, sejak penubuhan Kelab LLRC pada tahun 2004, pihak pengurusannya telah banyak mengatur berbagai-bagai rancangan dan inisiatif yang turut sama memberikan peluang bagi penglibatan masyarakat Mukim Liang khususnya, dan orang ramai di daerah ini pada amnya.

Menurutnya, kelab tersebut ditubuhkan antara lain bagi kemudahan riadah penduduk di mukim tersebut dan juga orang ramai, sehubungan itu beliau turut merakamkan penghargaan kepada Jabatan Daerah Belait kerana telah memberikan kelulusan tapak mendirikan kelab tersebut dan ia juga sebagai salah satu mercu tanda kepada penduduk di mukim berkenaan.

ARTIKEL YANG SAMA