Marlia

MALAM kian larut. Marlia masih tidak dapat melelapkan matanya. Fikirannya bercelaru. Perasaan bercampur baur. Dia ingin berubah, tetapi tidak tahu bagaimana hendak berubah, kerana tanpa disedari yang terjadi adalah dari kesilapannya sendiri. Dia sendiri tidak mengerti dengan dirinya sendiri yang mudah benar jatuh cinta. Lantas Marlia mengambil sebatang pen dan sebuah buku A4. Dia meluahkan apa yang terpendam dihatinya. Dia memang minat menulis sejak dibangku sekolah lagi.

Hari itu Marlia tidak bersemangat meneruskan kerja yang terbengkalai. Pen biru yang selalu digunakannya dipusing-pusing sambil tangan kirinya menongkat dagu. Dia memandang kertas putih yang bersih itu. Lantas diterokai fikiran tajamnya yang ligat berfikir. Tercetuslah madah-madah berseni hasil nukilannya. Ku sangka panas hingga ke petang rupanya hujan di tengah hari. Kebahagiaanku tak kekal lama. Rintik-rintik hujan mulai turun dari tengah hari hingga dinihari. Sehinga aku pasrah pada takdir.

Fikiranku masih lagi dibuai pertanyaan, kenapa ya, kau berubah? Teman-teman sepejabat pun hairan bin pelik. Dahulu kau manusia yang bertimbang rasa, pemurah, selalu belanja makan kawan-kawan rapat dan bukan kaki disko. Semenjak kau membawaku ke diskolah aku semakin berjinak-jinak untuk terus setia mengunjunginya. Pada hal aku nekad untuk tidak bersuka ria di tempat seperti itu lagi. Agaknya kerana kemanisanku kau cintai. Sudah hilang manis, kau berubah hati. Aku dijadikan pemuas nafsumu. Mangsa kejahilanmu. Semua ini tercipta tanpa kerelaanku, Zamri.

Kau tak layak digelar suami. Apatah lagi lelaki yang bakal menjadi pemimpin keluarga. Tanyalah mana-mana wanita disisimu, apa yang dicari dalam sebuah ikatan perkahwinan. Selain kebahagiaan, kasih sayang dan perhatian suami. Ke mana perginya kasih sayangmu terhadapku dahulu? Aku dilayan bagaikan puteri raja. Aku kesal. Sedih pilu beraja di hati. Kini….. apa lagi yang tinggal……. Tiba-tiba. Tut..tut. tut tut …. Siapa pula yang hantar mesej nie. Getus Marlia di dalam hati. Terbang ilham seninya untuk dilakarkan di atas kertas serba putih itu. “Lia, apa rancangan kau malam ini?” Rosnah rupanya. “Nantilah aku beritahu kau. Sekarang nie aku busy.” Marlia berbalas mesej dengan sahabatnya Rosnah. “Okeylah, nak aku jemput kau ke petang nanti?” tanya Rosnah lagi.

“Boleh juga. Lagipun malam nanti aku kena balik jalan kaki, biasalah macam selalu. Bergaduh lagi. Lepas nie aku tak nak fikir tentang Zamri lagi. Aku dah nekad. Nak putuskan…..”

Marlia tidak dapat membalas mesej Rosnah. Tiba-tiba saja, pintu pejabat dibuka. Dua orang kakitangan pejabat iaitu kerani pentadbiran dan kewangan datang memarahi dirinya, kononnya dia telah mengadu hal-hal yang tak sepatutnya tentang masalah kewangan kepada Encik Razlan majikan mereka. “Siapa lagi kalau bukan kerja Zamri yang mereka-reka cerita ini.” Marlia meluahkan masalahnya kepada Puan Radziah, esekutif pemasaran Syarikat Floral Entertainment, sebelum pulang ke rumah.

“Sabarlah Lia. Pasti ada hikmahnya di atas apa yang berlaku. Pesan saya carilah jalan yang sebaik-baiknya dalam menyelesaikan masalah. Ini soal masa depan Lia. Zamri belum jadi suami Lia. Apa cerita pulak kalau dah jadi suami Lia nanti.” Puan Radziah menasihati Marlia. Lelaki yang pentingkan diri sendiri itu tidak layak menjadi suami aku. Malam ini akan menjadi malam perhitungan aku dengan dia. Lihatlah nanti Zamri. Hati Marlia berbisik lagi. “Kalau diikutkan hati, Lia menyesal bertunang dengan Zamri, kak,” ujar Marlia lagi.

Marlia tidak ingat lagi siapa dirinya. Seingatnya ibu dan arwah ayah tidak pernah ambil tahu kegiatannya pada malam hari. Dia kebingungan. Pelik pun ada. Mungkin kerana aku nie anak pungut, kepentingan aku tidak dihiraukan. Fikirnya lagi. Kenapalah aku tidak pernah merasa kebahagiaan hidup. Semenjak dari kecil lagi. Semenjak arwah ayah ada, kelahiranku seperti tidak dapat diterimanya. Aku tidak disenangi oleh ahli keluarga ayah. Panas baran ayah juga tak bertempat.

Bukan ayah tidak sayang aku langsung, tapi caranya mendidik tak kena pada tempat. Tuhan sajalah yang tahu aku berkecil hati dengannya. Tapi, sampai bila aku harus memendam perasaan. Dia orang tua aku. Sudah jadi arwah pun. Eh melamun lagi, kalau di rumah sudah lama siap sebuah karangan, ujar Marlia dalam hati.

Setelah lama termenung di sudut tepi pusat hiburan itu, Marlia mengambil keputusan nekad untuk memutuskan tali pertunangan dengan Zamri. Biar pengisytiharaan perpisahan dengan Zamri menyelesaikan segala masalah. “Hai temenung panjang nampak.” Marlia terkejut. “Eh kau Ros, ingat siapa tadi. Terkejut aku,” kata Marlia sambil menyeka sisa-sisa air mata di pipinya.

“Kau menangis lagi Lia. Janganlah sedih, kita datang ke sini nak enjoy. Apalah kau nie.” Rosnah cuba memujuk. Teman baiknya sejak dibangku sekolah. “Aku bukan apa Ros. Fikiran aku berserabut sekarang nie. Biar apa pun aku lakukan takkan ada jalan penyelesaiannya.” Marlia bagai berputus asa dengan apa yang dilaluinya. Terngiang-ngiang di telinga pertengkarannya dengan Zamri sebelum keluar pergi ke pusat hiburan tersebut.

“Marlia, kau nak berpaling tadah denganku?” Pertanyaan itu tak dijawabnya. Zamri tiba-tiba berang. Dia menyentap tangan Marlia. Kasar. “Tolonglah, Zam. Boleh tak kau bagi aku ruang untuk bersendirian,” ujar Marlia cuba untuk beredar dari tempat gelap itu. “Eh, apa tolong-tolong. Aku ada hak ke atas kau tau…..” “Hak? Awak bercakap tentang hak? Hak apa kalau jadi hamba seks awak!” Marlia tetap dengan keputusannya. Melepaskan diri daripada Zamri menjadi salah satu agendanya.

Kata-kata Marlia itu membuatkan Zamri ketawa. Entah ketawa mengejek, marah atau sengaja dibuat-buat Marlia tidak pasti. “Aku nak putuskan pertunangan kita. Aku dah tak sanggup lagi, hidup bergelumang dosa. Aku nak bersihkan diri aku yang kotor nie. Lagipun kau tak layak langsung jadi seorang suami.” Suara Marlia bergetar diselang seli dengan esak tangisnya. Zamri bertambah berang. “Marlia jangan ingat senang-senang kau nak putuskan hubungan kita. Awak tu perempuan murahan. Kalau bukan aku yang berani ambil siapa lagi nakkan awak.” Zamri mengejek lagi.

Ada kebenaran disebalik kata-kata Zamri. Marlia sedar siapa dirinya. Dia juga sedar bukan senang nak merubah segalanya. Namun dia masih punya hati dan perasaan untuk kembali ke jalan yang benar cuma dia tidak pasti apakah masih ada harapan untuknya bertaubat. “This is my life. Awak tak ada hak ke atas aku.” Marlia bergegas menuju ke kereta Rosnah yang sedang menunggu sejak dari tadi. “Tapi, awak dah lupa siapa diri awak, asal usul awak.” Zamri mengugut lagi. Marlia tak mengendahkan ugutan Zamri itu. Bertekak pun tiada gunanya lagi. Nasi sudah menjadi bubur.

“Kau tengoklah tadi, langsung tak bertimbang rasa. Sesuka hati nak kata apa. Dia ingat aku takut dengan ugutan dia tu.” Marlia melepaskan apa yang terbuku di hatinya kepada Rosnah. “Aku tahu. Ini melibatkan dua insan. Cuma ada satu cara. Kau tinggalkan kampung, kau pergi bandar, kau cari kerja di sana. Zamri pun tak dapat cari kau. Ya, aku pasti. Dia tu harapan bapak dia. Syarikat bapak dia bakal dia warisi. Dia ada komitmen di sini.” Rosnah memberi cadangan. Marlia terkebil-kebil merenung masa depan yang tidak pasti.

Marlia pasti ada kebenaran di sebalik kata-kata teman baiknya itu, cuma dia lagi bingung untuk bertindak sejauh itu. Memang tidak dinafikan, Rosnah selalu berada bersama Marlia ketika susah mahu pun senang. Malah ketika arwah ayahnya ada, selalu juga dia menumpang berteduh di rumah sahabatnya itu kalau dimarahi oleh ayahnya.

“Sekarang nie Tuhan nak tolong aku, sebab tu aku tak mengandung. Kalau aku mengandung, entahlah aku pun tak tahu apa nak buat. Mungkin Zamri lebih bertindak kasar terhadap aku,” luah Marlia sambil menarik anak rambut yang berjuraian di telinganya. “Aku, faham, Lia. Tabahkanlah hati kau hadapi semua ini,” kata Rosnah memujuk. “Kaulah sahabat aku dunia akhirat.” Marlia memeluk erat Rosnah. Tangisannya mengiringi irama pop dance yang dimainkan ketika itu. Lama mereka berpelukan. Buat seketika mereka jadi hairan, beberapa anak muda bertempiaran lari.

“Lari, lari! Lariiii…. Liaaa, Rosss, polis kat luar sana. Lari cepat lari semua…..” Abang Bob yang sangat mereka kenali bertempik menyuruh mereka lari. “Lia, polis Lia. Aku takut.” Rosnah menarik tangan Marlia. “Cepat Lia, lutut aku dah menggeletar nie.” Keadaan menjadi bertambah kecoh, sekelip mata sahaja beberapa orang anak muda sempat ditangkap pihak berkuasa. Termasuklah juga Marlia dan teman baiknya Rosnah.

Esoknya ibu Marlia datang hendak menjamin. Bukan sekadar datang hendak menjamin, Marlia dimarahinya. Malangnya, ibunya diberitahu polis, ujian air kencingnya positif, dia bakal di tempatkan di pusat pemulihan. Ibu diberitahu polis lagi, pusat hiburan tersebut telah disahkan menjadi pusat pengedaran dadah dan juga sarang pelacuran. Sudah lama pusat hiburan itu diintip pihak berkuasa. Setelah bukti mencukupi barulah polis bertindak menangkap pihak yang terlibat.

“Ibu, tak ada gunanya ibu marah Lia sekarang. Lia tidak kisah sama ada ibu nak jamin Lia atau tidak.” Marlia bertekak dengan ibunya. “Kau nie Lia, memang anak yang degil. Sejak dari dulu lagi perangai kau tak pernah berubah.”

“Ibu asyik cari kesalahan Lia aje. Kenapa ibu tak ambil peduli apa yang anak ibu buat selama ini? Bila dah jadi macam nie baru ibu datang jumpa Lia. Berterus terang sajalah ibu, Lia nie bukan anak ibu kan.” Ibu Marlia terdiam.

“Maafkan ibu Lia. Ibu tak berniat nak menyinggung perasaanmu, nak. Tapi ayah kau mendesak ibu. Kalau ibu lebihkan kau, ibu akan kehilangan dia,” secara tak semena-mena, ibunya menangis sambil mengeluarkan gambar ibu kandung Marlia yang sebenar. “Marlia nak tahu di mana tempat tinggal ibu Lia. Lia nak tengok dia.” Marlia memegang kedua-dua tangan ibu angkatnya. “Maafkan ibu sekali lagi, Lia. Ibu kau sebenarnya dah tak ada lagi.” Mereka dua beranak bertentangan mata. “Maksud ibu.”

“Dia dah meninggal dunia setahun sudah selepas disahkan mengidap kanser payudara.”

“Sampai hati ibu merahsiakan semuanya ini dari Lia. Tidakkah ibu dan ayah sedar ibu dan ayah dah mengabaikan Lia selama ini. Biarpun Lia anak angkat. Lia sedih bu. Patutlah apa yang Lia buat semua tak kena di mata ayah.” Sebak menguasai suasana. “Maafkan ibu, sayang. Berilah peluang untuk ibu tebus segala kegagalan ibu mendidik kau selama ini. Ibu akan melantik peguam untuk bebaskan kau.” Ibu angkatnya menangis kekesalan.

“Sudah terlambat ibu. Lia tak menyesal masuk ke sini. Lia tak minta ibu jamin Lia,” ujar Marlia seakan berputus asa. “Umurmu masih muda. Banyak lagi masa untuk kau perbetulkan kesilapan lampau.” “Biarlah Lia menghabiskan masa di pusat pemulihan saja. Lagipun Lia tak yakin boleh berubah menjadi baik bila berada di luar sana sekarang nie. Lia dah muak tengok muka Zamri. Lelaki yang tak bertanggungjawab tu.” Marlia berterus terang. “Lia….” Marlia tidak menghiraukan panggilan ibunya. Sudah kering air matanya untuk menangisi apa yang telah dilalui. Barulah Marlia percaya kepada ketentuan hidup.

Sampai masanya dia bertemu apa yang dicari-cari selama ini. Dia yakin di pusat pemulihan nanti dia menemui sinar kebahagiaan yang dicari-cari selama ini. Memandangkan saban hari penghuninya mendalami pengajian agama dan melakukan ibadat. Ketika pihak penjara sedang sibuk hendak memindahkan penghuninya ke pusat pemulihan, Marlia dikejutkan oleh polis wanita yang menjaganya, ada orang hendak berjumpa dengannya.

Sekali lagi Marlia terkejut dengan kehadiran orang tersebut yang datang menjenguk. Namun dia sendiri yang tidak sudi untuk berbual dengan orang tersebut. Malah dia percaya lelaki itu sedang mentertawakannya. Dia menarik nafas panjang dan tanpa menoleh ke arah Zamri, dia beredar menuju ke penjara di mana dia ditempatkan.

“Oh Tuhanku, yang terdetik dihatiku ketika ini cuma satu, seandainya Engkau telah menetapkan di pusat inilah berakhirnya kekecewaanku, kehidupan silamku dan mengembalikan kegembiraan dalam hidupku, maka aku pasrah dan akur dengan ketentuanmu. Maka dengan itu berikanlah aku kekuatan untuk terus tabah menjalani kehidupan baru nanti. Terima kasih Ya Allah, Amin.” Bisik hati kecil Marlia di tikar sejadah. ‘Sinarilah hatiku ini dengan cahaya taufik dan hidayahmu Ya Allah, kasihanilah hambamu ini.’ Marlia mengakhiri doanya.