Marquez intai hatrik

Marquez intai hatrik

PRAGUE, 14 Ogos (AFP) – Juara bertahan MotoGP Marc Marquez mahu memburu kemenangan Grand Prix kali ketiga berturut-turut di Litar Brno, Republik Cezch Ahad ini dan sedia mengecilkan jurang perbezaan mata keseluruhan berbanding musuh tradisinya.

Selepas 10 daripada 18 perlumbaan MotoGP tahun ini, bintang Itali Valentino Rossi mengetuai senarai kejuaraan dengan mengumpul lebih 195 mata berbanding Jorge Lorenzo dari Sepanyol yang mengumpul 186 mata.

Marquez yang muncul juara pada 2013 dan 2014, menduduki tangga ketiga dengan 139 mata gara-gara permulaan perlahan di awal musim.

Tetapi pelumba Sepanyol yang menganggotai pasukan Repsol Honda itu mula mempamer belangnya di Indianapolis minggu lalu dan ia adalah kemenangan kedua berturut-turut sambil Lorenzo dan Rossi di tempat kedua serta ketiga.

“Kami tetap percaya bahawa peluang masih ada tetapi kami juga perlu jujur. Ia sukar untuk direalisasikan,” kata Marquez.

Marc Marquez memburu kemenangan ketiga di Litar Brno Ahad ini. – Reuters
Marc Marquez memburu kemenangan ketiga di Litar Brno Ahad ini. – Reuters

“Kami sedar kedua-dua pelumba Yamaha itu berada di kedudukan terbaik dan jika kami mahu menewaskan mereka pada setiap perlumbaan, kami perlu bekerja keras terutamanya di beberapa litar selepas ini.”

Di litar sepanjang 5.4 kilometer di Brno, dia berkata: “Kami akan cuba menumpukan perhatian sejak awal perlumbaan.”

Di Brno tahun lalu, Marquez gagal mengatasi rekod 10 kemenangan berturut-turut yang dipegang Giacomo Agostini apabila sekadar menamatkan saingan di kedudukan keempat perlumbaan yang di dominasi rakan sepasukannya, Dani Pedrosa.

“Ini bukanlah litar kesukaan saya dan saya mempunyai rekod pencapaian yang bercampur-campur di litar ini,” kata Marquez.

“Tetapi kami tiba dengan perasaan gembira dan kami akan berusaha keras untuk menyiapkan diri.”

Rossi, 36, bermula dengan baik musim ini apabila menang dua daripada tiga perlumbaan awal dan meraih podium 10 kali setakat ini.

Juara dunia sembilan kali itu pernah muncul juara di Brno dan kali terakhir berbuat demikian pada 2009.