Marquez intai Indianapolis

Marquez intai Indianapolis

SAXONY, Jerman, 14 Julai (Agensi) – Penyandang juara dunia, Marc Marquez berkata, dia kini boleh bergembira bersama pasukannya, Repsol Honda selepas mendominasi pusingan kesembilan perlumbaan MotoGP musim ini pada Grand Prix (GP) Jerman di Litar Sachsenring kelmarin.

Marquez memintas pelumba Movistar Honda, Jorge Lorenzo pada pusingan kelima dan terus bergandingan dengan rakan sepasukannya, Dani Pedrosa untuk menamatkan perlumbaan itu bagi meraih tempat pertama dan kedua.

Ia merupakan kemenangan kedua Marquez pada musim ini selepas terpaksa bergelut dengan masalah jentera yang menyaksikan dia kerap kali terjatuh ketika beraksi dalam perlumbaan yang lepas.

Bagaimanapun, kedua-dua pelumba itu masih mempunyai tugas untuk disempurnakan sebagaimana perancangan mereka untuk melakukan ujian bebas di Misano minggu depan sebelum kembali beraksi pada perlumbaan seterusnya di Indianapolis 9 Ogos depan.

“Saya sangat gembira dengan kejayaan ini kerana saya telah bekerja keras pada perlumbaan di Assen dan di sini. Kami sangat hampir di Assen tetapi akhirnya apa yang kami sasarkan diraih di sini.

Marc Marquez ketika mendahului pusingan Grand Prix MotoGP Jerman di Litar Sachsenring 15 Julai lalu. – Reuters
Marc Marquez ketika mendahului pusingan Grand Prix MotoGP Jerman di Litar Sachsenring 15 Julai lalu. – Reuters

“Saya gembira dengan keputusan ini dan saya juga gembira kerana saya semakin menikmati jentera ini semula. Kami telah melaksanakan tugas dengan hebat dan sekarang masa untuk kami menikmati perlumbaan.

“Kami akan mengikuti ujian di Misano dan saya rasa ia penting untuk separuh musim kedua. Kami mahu bekerja lebih keras untuk mengatasi sebarang masalah yang belum diselesaikan,” kata Marquez.

Marquez turut memuji aksi yang dipamerkan pencabarnya, Lorenzo yang mendahului perlumbaan selepas selekoh pertama litar itu.

“Ia permulaan yang baik. Saya memulakan perlumbaan itu dengan baik dan saya cuba untuk memintas kerana pada selekoh yang pantas ia selalunya mencabar tetapi saya melihat Lorenzo yang tampil lebih mengagumkan ketika di selekoh.

ARTIKEL YANG SAMA