Marquez juara GP Indianapolis

Marquez juara GP Indianapolis

INDIANAPOLIS, 10 Ogos (AFP) – Juara dunia dua kali, Marc Marquez membolot kejuaraan kelimanya musim ini apabila memenangi perlumbaan MotoGP Indianapolis, semalam.

Penunggang Honda dari Sepanyol itu menewaskan rakan senegaranya, Jorge Lorenzo, untuk di tempat kedua manakala pelumba Itali yang juga pendahulu saingan musim ini, Valentino Rossi di tempat ketiga.

Marquez menghabiskan 27 pusingan perlumbaan sejauh 112.59 kilometer di Indianapolis Motor Speedway dalam masa 41 minit 55.371 saat manakala Lorenzo yang menunggang Yamaha tertinggal 0.688 saat di belakangnya.

“Saya melihat Jorge begitu mantap dan saya tidak dapat pergi ke hadapan untuk membuka jurang,” kata Marquez.

“Oleh itu, saya mengambil keputusan untuk kekal di belakangnya dan cuba menyerang pada akhirnya. Pada mulanya saya dapat mengikutinya, tetapi pada pertengahan saya sedikit bergelut.

Marquez (tengah) meraikan kejayaan bersama krew selepas menjuarai GP Indianapolis semalam. – Reuters
Marquez (tengah) meraikan kejayaan bersama krew selepas menjuarai GP Indianapolis semalam. – Reuters

“Saya setengah saat, enam per sepuluh belakangnya. Tetapi kemudian saya melihat satu-satunya peluang untuk cuba menyerang dengan dua pusingan untuk mengejutkan dia… Saya banyak mengasak pada pusingan terakhir.”

Jika kemenangan 2011 dan 2012 dalam kategori Moto2 diambil kira, Marquez telah menang lima kali berturut-turut di Indianapolis Motor Speedway.

Kemenangan Ahad ini menjadikan beliau pelumba pertama juara tiga kali di Indianapolis MotoGP. Dia juga memenangi dua perlumbaan MotoGP di Austin, Texas sebelum ini serta perlumbaan di Laguna Seca, California tahun lepas.

Kemenangan Ahad ini juga merupakan kemenangan ke-22 untuk Marquez dalam 46 permulaan MotoGP. Lorenzo naib juara perlumbaan ini untuk tahun kedua berturut-turut.

Dalam lapan permulaan di Indianapolis, dia tidak pernah selesai di bawah tempat keempat dan perjalanan ke podium semalam adalah yang keenam musim ini. Rossi selesai di podium dalam kesemua 10 perlumbaan musim ini.

Rossi kekal mendahului kedudukan juara dunia musim ini dengan kelebihan 13 mata ke atas rakan sepasukannya, Lorenzo.

ARTIKEL YANG SAMA