Marquez juara GP Jerman

Marquez juara GP Jerman

HOHENSTEIN-ERNSTTHAL, Jerman, 13 Julai (AFP) – Juara dunia bertahan dua kali Marc Marquez meneruskan rekod cemerlang di Sachsenring selepas muncul juara MotoGP Jerman dan kejayaan itu merupakan yang kedua musim ini.

Pelumba Sepanyol berusia 22 tahun itu muncul juara enam kali di litar itu dalam tempoh enam tahun.

Rakan sepasukannya dari Honda, Dani Pedrosa di tempat kedua manakala pendahulu kejuaraan musim ini Valentino Rossi dari Yamaha di kedudukan ketiga.

Rossi yang sedang memburu kejuaraan dunia ke-10 dan ketujuh dalam kategori 500cc/MotoGP, menjarakkan kedudukannya dengan rakan sepasukannya Jorge Lorenzo yang mengakhiri saingan di tempat keempat dengan kelebihan 13 mata.

Kejuaraan musim ini sudah memasuki fasa kedua dan akan berehat selama tiga minggu sebelum diteruskan dengan Grand Prix Indianapolis di Amerika Syarikat.

Marc Marquez meraikan kejayaan mengungguli MotoGP Jerman di Litar Sachsenring, Hohenstein-Ernstthal semalam. – AFP
Marc Marquez meraikan kejayaan mengungguli MotoGP Jerman di Litar Sachsenring, Hohenstein-Ernstthal semalam. – AFP

Marquez, yang mencatatkan kemenangan pertama dalam enam siri perlumbaan, sekali gus menamatkan kemarau kekalahan terpanjang sejak kali terakhir semasa bersaing dalam kategori 125cc pada 2009 berkata, kejayaan itu merupakan sesuatu perkembangan yang sangat baik tetapi banyak lagi yang perlu dilakukannya.

“Saya berasa sangat gembira dengan kejayaan ini. Ini merupakan perlumbaan yang sangat baik untuk ditamatkan sebelum bercuti. Tetapi kami perlu bekerja keras untuk menampilkan aksi lebih baik selepas ini,” katanya.

Pedrosa yang berjaya menaiki podium buat kali kedua dalam kempen musim ini berkata, dia sangat gembira dengan kejayaan yang diraihnya itu.

“Perlumbaan ini sangat sukar terutama di bahagian permulaan kerana sudah lama saya tidak berada di hadapan bersaing dengan pelumba seperti mereka.