Marquez raih gelaran keempat dunia

CHESTE, Sepanyol, 13 Nov – Handalan dari Sepanyol, Marc Marquez memenangi gelaran dunia MotoGP keempat untuk menyertai penunggang-penunggang elit selepas menamatkan kedudukan ketiga dalam perlumbaan Grand Prix Valencia penamat musim.

Marquez yang menunggang Honda, mempunyai kelebihan 21 mata dalam kejuaraan itu di depan pesaing Andrea Dovizioso dari Ducati, dan dijamin memenangi gelaran itu dengan menamatkan 11 kedudukan teratas atau jika Dovizioso gagal memenangi perlumbaan tersebut.

Nasib Dovizioso terjawab apabila pendahulu awal musim itu tersingkir dalam pusingan kelima terakhir, sekali gus Marquez memenangi kejuaraan itu dengan 37 mata.

Marc Marquez meraikan kejayaannya menjuarai gelaran dunia MotoGP selepas perlumbaan di Valencia. – AFP

Rakan sepasukan Marquez dari Honda, Dani Pedrosa memenangi perlumbaan itu dari Johann Zarco yang berasal dari Perancis di tempat kedua.

Baru berusia 24 tahun, Marquez adalah penunggang termuda untuk memenangi empat gelaran dunia kelas utama selepas hanya lima musim dalam MotoGP, yang menambah kepada dua kejuaraan dunia lain pada peringkat rendah.

Dia menyaingi kedudukan trio dari British, Mike Hailwood, Geoff Duke dan John Surtees, dan Eddie Lawson dari AS sebagai salah seorang dari lima penunggang yang memenangi empat kali di peringkat teratas. – AFP