Marseille terus hambar di laman sendiri

Marseille terus hambar di laman sendiri

PARIS, 11 Jan (Reuters) – Prestasi hambar Olympique de Marseille di laman sendiri berterusan apabila sekadar terikat 0-0 dengan Guingamp awal pagi tadi, sekali gus ia keputusan seri keempat mereka berturut-turut dalam saingan Ligue 1.

Skuad kendalian Michel hanya mencatatkan dua kemenangan di laman sendiri sepanjang musim ini, dengan kemenangan terakhir mereka di Stade Velodrome hadir ketika melayani kunjungan Bastia, 13 September lalu.

Keputusan seri menentang pasukan yang kalah dalam lima aksi dan mengisi kedudukan dua terbawah liga, meletakkan juara 10 kali itu di kedudukan kurang memuaskan iaitu ke-11 liga.

Sementara itu, Nantes, yang menduduki tangga ke-10, menamatkan rentetan tujuh perlawanan tanpa kemenangan apabila pemain gantian di babak kedua Kolbeinn Sigthorsson memastikan mereka mencatatkan kemenangan 2-1 ke atas St Etienne.

Penyerang Iceland itu bergelut sejak menyertai dari Ajax Amsterdam pada musim panas lalu dan prestasinya dikritik oleh jurulatih Michel Der Zakarian.

Nolan Roux terlebih dulu meletakkan St Etienne di depan menerusi sepakan penalti tetapi Nantes yang menguasai permainan bangkit semula menyamai kedudukan hasil jaringan Johan Audel selepas setengah jam aksi.

Lille pula hanya berpuas hati seri 1-1 dengan Nice walaupun menguasai permainan. Yassine Benzia membuka tirai jaringan pada minit ke-10 daripada sepakan percuma, tetapi Niklas Hult kembali mengikat perlawanan.