Marseille tewas lagi

Marseille tewas lagi

PARIS, 4 April (AFP) – Bastia menewaskan Marseille 2-1 dalam aksi Ligue 1 ketika spekulasi bertiup kencang pasukan gergasi dari selatan Perancis itu mungkin mahu menyingkirkan jurulatih mereka dari Sepanyol, Michel.

Keputusan itu mengekalkan Marseille yang menghuni tangga ke-13 liga tanpa satu pun kemenangan sejak 2 Februari lalu. Lebih memedihkan, ia kurang daripada separuh mata keseluruhan berbanding seteru yang juga juara bertahan, Paris Saint-Germain (PSG).

Spekulasi bertiup kencang minggu ini apabila Marseille sedang mempertimbangkan untuk menyingkirkan Michel yang juga bekas pemain sayap Real Madrid dan pernah menjadi pengendali Getafe dan Seville serta Olympiakos.

“Kami buntu dan ia menyakitkan,” kata Michel yang meninggalkan perlawanan bersama presiden kelab, Vincent Labrune.

“Pemain bermain dengan teruk. Sekarang terpulang kepada presiden dan pemilik kelab untuk memuktamadkan perkara yang seterusnya,” kata Michel.

Aksi Batshuayi (kanan) bersama rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol tunggal pada perlawanan menentang Bastia di Stadium Armand Cesari semalam. – Reuters
Aksi Batshuayi (kanan) bersama rakan sepasukannya selepas menjaringkan gol tunggal pada perlawanan menentang Bastia di Stadium Armand Cesari semalam. – Reuters

Marseille kini mengumpul 39 mata manakala PSG berada di puncak dengan 80 mata, masing-masing sudah bermain 32 perlawanan.

Marseille kini hanya enam mata dipisahkan dengan zon penyingkiran. Dalam perlawanan itu, penyerang Bastia, Francois Kamano meluru pantas memecah pertahanan Marseille pada minit ke-47 dan rembatannya terkena pertahanan Karim Rekik yang akhirnya membenarkan bola membolosi gol sendiri.

Penjaga gol Marseille, Steve Mandanda kemudian menjatuhkan Kamano dn Gael Danic sebelum menyempurnakan sepakan penalti bagi menjadikan keputusan ketika itu 2-0 pada minit ke-56.

Cemas dengan situasi itu, Michel membawa masuk Michy Batshuayi dan percaturan nyata tepat apabila penyerang Belgium itu meledak jaringan pada minit ke-77.

ARTIKEL YANG SAMA