Marta kembali perkuat Brazil

Marta kembali perkuat Brazil

VANCOUVER, 21 Jun (AFP) – Bintang penyerang Brazil, Marta kembali untuk mengukuhkan cabaran pasukannya dalam kejohanan Piala Dunia Wanita menentang Australia esok manakala Perancis dan Kanada turut mengintai peluang ke suku akhir.

Perancis yang berada di ranking ketiga dunia akan berdepan Korea Selatan di Montreal manakala Kanada akan menentang Switzerland di Vancouver.

“Australia merupakan pasukan yang sangat kompetitif dan memiliki pemain berketahanan tinggi.

“Kami akan berdepan lawan yang sangat kuat. Ini merupakan perlawanan penentuan, jadi kesilapan bukan satu pilihan. Kami perlu bermain sebaik mungkin,” kata jurulatih Brazil, Vadao.

Marta tidak bermain dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan menentang Costa Rica kerana mengalami kecederaan bersama Cristiane dan Formiga.

Monica (tengah) bergurau dengan rakannya sewaktu menjalani sesi latihan sambil diperhatikan oleh Marta (kiri) di Moncton, New Brunswick semalam. – AFP
Monica (tengah) bergurau dengan rakannya sewaktu menjalani sesi latihan sambil diperhatikan oleh Marta (kiri) di Moncton, New Brunswick semalam. – AFP

Vadao menegaskan: “Marta akan beraksi Ahad ini (hari ini) dan perkara itu pasti.”

Pemain berusia 29 tahun itu sedang mengintai peluang untuk merangkul Piala Dunia pertamanya.

“Saya akan terus berjuang seperti selalu. Saya akan melakukan segala yang termampu untuk memastikan Brazil meraih keputusan yang sewajarnya,” katanya.

Skuad Matildas dikendalikan Alen Stajcic akan berdepan tugas sukar menentang Brazil yang memenangi kesemua perlawanan peringkat kumpulan dan masih belum dibolosi.

Kapten Lisa De Vanna merupakan antara nadi utama kepada Australia ketika mereka mengakhiri saingan kumpulan di kedudukan kedua di belakang Amerika Syarikat (AS).

“Perlawanan ini akan menjadi sangat sukar tetapi kami berjaya melepasi saingan di dalam kumpulan maut,” kata pertahanan Australia, Tameka Butt.

ARTIKEL YANG SAMA