Martabat Industri Halal di peringkat antarabangsa

Martabat Industri Halal di peringkat antarabangsa

BANDAR SERI BEGAWAN, 24 Nov – Sebanyak tujuh buah syarikat tempatan dan sebuah institusi pendidikan tinggi dengan kerjasama daripada Jabatan Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri telah menyertai Ekspo Halal Jepun 2016 di Tokyo Metropolitan Industrial Trade Center Taito-kan di Bandar Asakusa, Jepun.

Ekspo anjuran Jawatankuasa Penganjur Ekspo Halal Jepun 2016 yang bertemakan ‘Halal for All’ itu disertai oleh syarikat-syarikat makanan halal dan farmaseutikal; pendidikan Islam; eko-pelancongan; fesyen Muslimah; dan kosmetik dari negara ini.

Ekspo berkenaan juga mengumpulkan usahawan-usahawan di rantau ini bagi sama-sama berkongsi dan mengembangkan pengetahuan yang lebih luas dalam perdagangan produk dan perkhidmatan halal dan mencari jalan untuk bekerjasama dengan usahawan dari bukan sahaja Jepun, tetapi juga penyertaan antarabangsa.

Dalam acara berasingan, Seminar Perniagaan Halal Brunei Darussalam juga turut diadakan di Taito Kumin Kaikan. Seminar tersebut dianjurkan bersama oleh Jabatan Tenaga dan Perindustrian, Jabatan Perdana Menteri, Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri dan Perdagangan, Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun, Institut Penyelidikan Ekonomi Asean dan Asia Timur dan Pusat ASEAN-Jepun.

Hadir selaku tetamu kehormat majlis dan menyampaikan kata pembuka semasa seminar tersebut ialah Menteri Tenaga dan Perindustrian di Jabatan Perdana Menteri, Yang Berhormat Pehin Datu Singamanteri Kolonel (B) Dato Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Yasmin bin Haji Umar. Turut hadir untuk menyampaikan ucapan alu-aluan dan pengenalan ialah Naib Presiden Eksekutif Pertubuhan Perdagangan Luar Jepun (JETRO), Shigeki Maeda dan Presiden Institut Penyelidikan Ekonomi untuk ASEAN dan Asia Timur (ERIA), Profesor Hidetoshi Nishimura.

Yang Berhormat Pehin Dr. Haji Mohd Yasmin ketika menyampaikan ucapan.
Yang Berhormat Pehin Dr. Haji Mohd Yasmin ketika menyampaikan ucapan.
Antara yang menyertai seminar tersebut.
Antara yang menyertai seminar tersebut.

Seminar yang bertemakan ‘Melabur di Brunei Darussalam – Peluang dalam Industri Halal’ itu menyaksikan kira-kira 60 peserta mewakili syarikat-syarikat Jepun dari pelbagai sektor berminat dalam industri halal Negara Brunei Darussalam.

Semasa seminar itu, seorang wakil daripada Lembaga Kemajuan Ekonomi Brunei telah menyampaikan pembentangan mengenai pelaburan dan perniagaan iklim di Brunei Darussalam. Penyampaian mengenai kajian Pelaburan Industri Halal di Negara Brunei Darussalam oleh ERIA juga turut dikongsikan bagi menonjolkan kelebihan dan daya saing dalam menjalankan perniagaan di Negara Brunei Darussalam terutamanya kepada industri Halal.

Selain itu, wakil-wakil dari MC Biotech Sdn Bhd, Simpor Pharma Sdn Bhd dan Ghanim International Corporation Sdn Bhd turut menyampaikan pembentangan mengenai perniagaan dan prospek pelaburan di Brunei. Objektif seminar ini adalah untuk memperkenalkan peluang untuk meningkatkan kefahaman mengenai industri halal di Negara Brunei Darussalam kepada pelabur dan syarikat-syarikat Jepun.

ARTIKEL YANG SAMA