Martabatkan Bahasa Melayu kepada pelajar bukan Melayu

Martabatkan Bahasa Melayu kepada pelajar bukan Melayu

Oleh Tan Been Tiem

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 5 Ogos – Freda Ngu Ying Xuan yang mewakili Sekolah Menengah (SM) Chung Hwa dan Jesy Lasari dari Sekolah St. Andrew masing-masing muncul juara dalam Peraduan Pidato Pelajar Bukan Melayu Antara Sekolah Swasta Seluruh Negara, baru-baru ini.

Bagi Kategori Menengah Bawah, juara dari SM Chung Hwa itu berjaya menewaskan pesaingnya dari Sekolah St. Andrew dan Muhammad Faiz Al Nizamudeen dari Sekolah St. John yang masing-masing berada di tempat kedua dan ketiga.

Manakala bagi Kategori Menengah Atas, juara dari St. Andrew itu berjaya menewaskan naib johan yang dimenangi oleh Fiona Ngu Ying Ying dari SM Chung Hwa, BSB dan Suzanna Anak Minggu di tempat ketiga.

Hadir selaku tetamu kehormat di majlis ini ialah Ahli Lembaga Pengarah SM Chung Hwa, Awang Mohd Firdaus bin Abdul Rahman @ Dr. Tan Kah Hock.

Peraduan Pidato kali ketiga ini yang dianjurkan oleh Jabatan Bahasa Melayu, SM Chung Hwa, BSB ini adalah sebagai usaha untuk sama-sama memartabatkan Bahasa Melayu dalam kalangan pelajar-pelajar bukan Melayu.

pg08_150806_d

Para hakim, warga sekolah dan para pemenang pertandingan pidato bergambar ramai di majlis berkenaan.
Para hakim, warga sekolah dan para pemenang pertandingan pidato bergambar ramai di majlis berkenaan.

Menurut Pengetua SM Chung Hwa, Dayang Kho Guik Lan, antara objektif peraduan ini diadakan adalah untuk menekankan bahawa peraduan seumpama ini akan dapat memberi peluang kepada para pelajar untuk meningkatkan kemahiran mereka dalam berbahasa Melayu.

Di samping mencungkil, mengembang dan mengekspresikan bakat serta kemampuan para pelajar bukan Melayu berpidato dalam Bahasa Melayu di hadapan khalayak ramai dan dapat berinteraksi dalam kalangan masyarakat berbilang bangsa.

Kali pertama peraduan ini dianjurkan adalah pada tahun 2010 dan kali kedua diadakan pada tahun 2012. Pada tahun ini, sebanyak 14 buah sekolah Menengah Swasta seluruh negara dijemput untuk menyertai peraduan ini.

Namun hanya tujuh buah sekolah sahaja yang telah mendaftar sekali gus melayakkan para peserta pertandingan ke peringkat akhir tanpa melalui pusingan saringan.

Peraduan ini dibahagikan kepada dua kategori iaitu Kategori Menengah Bawah yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 7 hingga 9 dan Kategori Menengah Atas yang terdiri daripada pelajar-pelajar Tahun 10 dan Tahun 11.

Hakim bagi peraduan ini terdiri daripada Hajah Dayang Munah binti Puteh dari Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah, Hajah Ardinah binti Orang Kaya Maha Bijaya Haji Othman, Mantan Penolong Pengarah, Jabatan Kenaziran Sekolah-Sekolah dan Dr. Aini binti Haji Karim, Pensyarah Fakulti Sastera dan Sains Sosial, Universiti Brunei Darussalam.

ARTIKEL YANG SAMA