Martabatkan Bahasa Melayu tugas kita

Martabatkan Bahasa Melayu tugas kita

Oleh Anwar Haji Rosly

 

BANDAR SERI BEGAWAN, 7 Ogos – Masyarakat dan generasi muda hari ini tidak boleh menolak ke tepi penggunaan Bahasa Melayu kerana ia merupakan identiti, jati diri dan kebanggaan bangsa.

Mereka perlu mengangkat martabat Bahasa Melayu ke aras yang lebih tinggi. Malah dengan mendaulatkan Bahasa Melayu itu merupakan sebagai satu sumbangan besar untuk memperkasa dan mengekalkan identiti dan jati diri bangsa, tegas Khatib dalam Khutbah Jumaatnya hari ini.

Menurut Khatib, mendaulatkan Bahasa Melayu tidak mencukupi sekadar ia sudah termaktub sebagai bahasa rasmi negara dalam perlembagaan Negara Brunei Darussalam dan di susuli dengan peraturan-peraturan dan arahan-arahan pentadbiran dalam bentuk surat-surat keliling.

“Ia perlu diperkukuhkan dengan tindakan, amalan dan penghayatan bagi mempraktikkan penggunaan dan mengembangkan Bahasa Melayu itu sendiri di dalam kehidupan seharian oleh rakyat dan penduduk di negara ini.

“Menyebar luaskan penggunaan tulisan jawi juga perlu diberi perhatian. Ini kerana tulisan jawi sinonim dengan Bahasa Melayu, malahan tulisan jawi yang kebanyakan hurufnya berasal dari huruf-huruf Al-Quran dan hadisnya juga berfungsi besar dalam menyampaikan ajaran-ajaran Islam dalam masyarakat kita.”

Tambahnya, dalam hal mengangkat martabat Bahasa Melayu, penggunaan tulisan jawi dipapan-papan tanda di bangunan jabatan-jabatan kerajaan, premis-premis perniagaan serta kain rentang adalah suatu yang baik, dan perlu dipantau kesempurnaan perlaksanaan oleh setiap agensi yang berkenaan.

“Perlu disedari bahawa jika bahasa ibunda sesebuah bangsa sudah pudar dan pupus, ini juga menandakan akan lenyapnya sesuatu bangsa sebagaimana ungkapan Bahasa Melayu berbunyi “Bahasa Menunjukkan Bangsa” lebih-lebih lagi di dalam konteks negara Brunei Darussalam bahasa Melayu adalah juga komponen utama dalam falsafah negara Melayu Islam Beraja.

“Usaha-usaha untuk mendaulatkan Bahasa Melayu itu memerlukan kegigihan dan kesungguhan. Ini kerana usaha memartabatkan Bahasa Melayu itu adalah satu perjalanan melintasi zaman yang akan diteruskan dan diwarisi oleh generasi muda sekarang dan yang akan datang.

“Marilah kita sama-sama memartabatkan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara kita kerana kalau bukan kita, siapa lagi yang akan memartabatkannya. Mudah-mudahan Bahasa Melayu akan terus berkembang dan didukung untuk selama-lamanya,” ujar Khatib.