Martial belian berbaloi LVG

Martial belian berbaloi LVG

SOUTHAMPTON, United Kingdom, 22 Sept (AFP) – Louis Van Gaal mengaku beliau berdepan tugas berat mengawal harapan diletakkan banyak pihak ke atas Anthony Martial selepas penyerang itu menghasilkan tiga gol sepanjang tiga aksi pertama bersama Manchester United.

Martial meneruskan rentak jaringan ke atas Liverpool sebelum ini, menerusi dua gol ketika pasukannya menang 3-2 di Southampton sekali gus membolehkan United menduduki tangga kedua Liga Perdana.

Penyerang itu tiba di Old Trafford selepas dibeli United dari Monaco pada hujung tempoh perpindahan pemain baru-baru ini.

Ketika timbul persoalan sama ada mampukah pemain itu menyinar dan adakah dia setaraf dengan harganya, Martial tidak mengambil masa panjang untuk membuktikan kebolehannya.

“Anthony Martial sejak dulu lagi sudah menjadi begitu istimewa kerana kami mengeluarkan belanja tinggi untuk mendapatkannya. Ramai beranggapan Anthony bertaraf bintang tapi dia baru berusia 19 tahun. Dalam tiga perlawanan, dia sudah membuktikan banyak perkara,” kata Van Gaal.

Anthony Martial membantu pemain Southampton, Virgil van Dijk yang cedera semasa aksi Liga Perdana di Stadium st. Mary kelmarin. – Reuters
Anthony Martial membantu pemain Southampton, Virgil van Dijk yang cedera semasa aksi Liga Perdana di Stadium st. Mary kelmarin. – Reuters

“Saya gembira dengan persembahannya tapi kami dan dia sendiri perlu terus berpijak di bumi nyata.”

Van Gaal mengaku pemain muda itu memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran barunya.

“Dia tidak boleh berbahasa Inggeris, saya bercakap dalam Perancis dengannya. Saya memerlukan bantuan Marouane Fellaini serta Morgan Schneiderlin. Ketika ini sangat sukar buatnya, tapi dia sedia mempelajari bahasa Inggeris. Hanya masa yang akan menentukan bila dia akan fasih dalam bahasa Inggeris untuk menjawab setiap soalan. “Pertama, dia perlu menyesuaikan diri dengan budaya Inggeris. Buat masa ini, dia berjaya melakukannya – tiga gol berturut-turut.

“Dia mempunyai bakat untuk berjaya. Apabila berusia 19 tahun, anda tidak boleh mengharapkan akan selalu konsisten. Biasanya pemain muda akan sering terumbang-ambing dan itulah juga yang saya jangkakan daripadanya. Bagaimanapun, ia bukan masalah besar buat saya.”

ARTIKEL YANG SAMA