Martial tiba di Carrington

Martial tiba di Carrington

MANCHESTER, 1 Sept (AFP) – Anthony Martial tiba di Carrington semalam bagi menjalani ujian perubatan untuk proses perpindahan dari Monaco ke Manchester United dengan nilai dianggarkan 36 juta pound.

Pemain berusia 19 tahun itu kelihatan relaks dengan memakai kemeja berkolar ketika dibawa menaiki kenderaan hitam menuju ke kompleks latihan The Red Devils itu.

Usaha United mendapatkan Martial sebelum ini ditolak Monaco yang meminta bayaran sebanyak 58 juta pound, selain Javier Hernandez, disusuli dengan Marcos Rojo.

Namun persetujuan dicapai juga Ahad lalu antara kedua-dua kelab, dengan bayaran dijangka meningkat kepada 58 juta pound merangkumi bayaran bonus termasuk seandainya Martial mampu menjadi Pemain Terbaik Eropah.

Satu kenyataan di laman web Persekutuan Bola Sepak Perancis menyebut: “Anthony Martial meminta kebenaran daripada Didier Deschamps untuk pergi ke England bagi menandatangani kontrak dengan Manchester United.

Memandangkan keadaan luar biasa, jurulatih telah bersetuju dengan permintaan pemain.”

Martial sebelum ini dibenarkan oleh Persekutuan Bola Sepak Perancis, meninggalkan latihan pusat pasukan kebangsaan di Clairefontaine untuk terbang ke Manchester.

Pengendali United, Louis van Gaal berminat dengan penyerang muda ini sejak dulu, meskipun Monaco enggan menjualnya meskipun turut menarik perhatian pasukan lain seperti Tottenham Hotspur, Juventus dan Chelsea.

Van Gaal percaya Martial mempunyai potensi besar untuk menjadi seorang daripada penyerang hebat di Eropah, selepas melihatnya beraksi beberapa kali musim lalu.

Pemain itu sebelum ini dikaitkan mirip dengan gaya permainan bekas penyerang hebat Perancis, Thierry Henry.