Martial tidak...

Martial tidak sabar berdepan Saint-Etienne

LONDON, 14 Feb – Anthony Martial mempunyai lebih banyak sebab berbanding rakan sepasukannya yang lain di Manchester United untuk menjaringkan gol ke atas kelab Perancis, Saint-Etienne dalam aksi Liga Europa awal pagi Jumaat di Old Trafford.

Martial, 21, telah meningkat naik dalam bola sepak sebagai pemain remaja bersama Lyon, pesaing ketat domestik Saint-Etienne.

Pemain sayap Perancis itu tidak pernah bermain bagi perlawanan derbi pasukan pertama, tetapi pasti gembira untuk menemui sasaran ke atas Saint-Etienne, meskipun satu gol memakan kos 10 juta euro ke atas United berikutan satu fasal dalam perjanjian dengan Monaco, bekas kelab Martial sebelum menyertai United.

“Terdapat persaingan besar ketika saya masih berada di Lyon,” kata Martial melalui laman sesawang United.

“Ia selalunya menimbulkan atmosfera yang kuat dan ia kerap menjadi perlawanan yang besar, perlawanan yang memang dinanti-nantikan oleh semua pemain.

Penyerang Manchester United, Anthony Martial meraikan jaringannya ketika menentang Watford di Old Trafford. – AP
Penyerang Manchester United, Anthony Martial meraikan jaringannya ketika menentang Watford di Old Trafford. – AP

“Jadi akan ada perasaan kompetitif tambahan jika saya bermain menentang mereka.

“Kami tahu ia akan menjadi satu perlawanan yang sukar, tetapi jika kami bermain dengan semua kualiti yang kami ada, saya fikir kami mampu melakukannya dengan baik.

“Setentunya, ia pasti hebat jika saya dapat menjaringkan gol ke atas mereka lagi, tetapi saya harap kami menang dalam perlawanan itu kerana itu lebih penting, kemudian ia adalah bonus jika saya mampu memperoleh satu gol.”

Perlawanan awal pagi Jumaat itu juga akan menyaksikan pemain termahal United, Paul Pogba menentang abangnya, Florentin, yang bermain di posisi pertahanan bagi Saint-Etienne.

“Mereka memang dikenali kerana suka berjenaka tetapi, setelah berada di atas padang, ia seolah-olah menjadi pertarungan antara dua pemain yang berjuang habis-habisan untuk menang,” kata Martial. – AFP

ARTIKEL YANG SAMA