Martial tidak tinggalkan Old Trafford

Martial tidak tinggalkan Old Trafford

LONDON, 30 Mac (Agensi) – Anthony Martial memberi jaminan kepada peminat Manchester United betapa dia tidak berhasrat untuk meninggalkan kelab terbabit.

Kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain (PSG) kini dikaitkan dengan usaha untuk memancing penyerang itu, yang menyertai United dari Monaco pada musim panas lalu.

Martial yang berusia 20 tahun, mempamerkan aksi memberangsangkan bersama Red Devils musim ini dengan menjaringkan 12 gol dalam 39 penampilan.

Walaupun tidak mempunyai niat mengikut jejak Angel di Maria yang berhijrah pada musim panas lalu, Martial berikrar betapa dia akan menjadi lebih prolifik dalam Liga Perdana musim depan, laporan Manchester Evening News.

Ditanya sama ada dia akan meninggalkan United untuk ke PSG, Martial menjawab, “Mereka (United) tidak berada dalam kelompok teratas, tetapi saya berharap tahun depan mereka akan mencapai tahap itu.

“Saya rasa saya boleh buat lebih baik (dengan penyudah saya), terdapat beberapa peluang yang saya terlepas tetapi saya fikir tahun depan ia akan menjadi lebih baik.

“Pada mulanya saya takut kerana saya mendengar banyak perkara mengenai kehebatan bola sepak Inggeris.

“Namun, saya sedar ketika perlawanan yang mana saya mampu bersaing, dan saya benar-benar sangat gembira dengan keadaan itu kerana sebagai seorang anak muda saya bergelut untuk menamatkan permainan.

“Mereka berkata pada usia 17 tahun, saya perlu bekerja keras dengan kemampuan saya. Saya suka cara permainan Inggeris, ia adalah perkara yang saya benar-benar mahukan.”

ARTIKEL YANG SAMA