‘Martin’ pertahankan kejuaraan

‘Martin’ pertahankan kejuaraan

Oleh Hajah Saemah Kepli

 

KUALA BELAIT, 21 Ogos – Walaupun usia 13 tahun boleh dianggap sebagai tua bagi seekor kucing, namun Martin yang merupakan kucing jenis Maine Coon masih mampu mempertahankan gelaran ‘Best of The Best’ dalam Pertandingan Kucing-Kucing Tempatan dan Luar Negeri yang diadakan di Dewan Bandaran di sini, hari ini.

Dalam pertandingan anjuran Pertubuhan Perkumpulan Perempuan (WI) sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Keputeraan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam ke-70 Tahun bagi Daerah Belait itu, Martin dipertandingkan dalam Kategori Berkebiri dan juga merupakan pemenang ‘Best of The Best’ sebanyak lima kali dalam pertandingan-pertandingan sebelum ini.

Sementara itu, kucing diberi nama Mueeza berusia empat bulan yang mempunyai kebolehan memegang botol susu dipilih sebagai pemenang kucing unik.

Sebanyak lima kategori kucing telah dipertandingkan dalam pertandingan berkenaan iaitu kucing Parsi, Berkebiri, Campuran, Siam dan Biasa.

Tempat pertama Kategori Kucing Parsi telah dimenangi oleh kucing yang bernama Handsome, manakala Kategori Kucing Kerkebiri dimenangi oleh Martin, Kucing Campuran dimenangi Rex, kategori Kucing jenis Siam dimenangi oleh Gary, dan Kategori Kucing Biasa dimenangi oleh kucing yang bernama Comel.

Dayang Faridah bersama kucing-kucingnya, Jack (kiri) dan Martin (kanan) yang didukung oleh suami dan anaknya.
Dayang Faridah bersama kucing-kucingnya, Jack (kiri) dan Martin (kanan) yang didukung oleh suami dan anaknya.

Merangkul kemenangan sebagai Kucing Sihat, Bulu Tercantik dan Kucing Tercantik ialah Martin yang sekali gus menjadi pemenang ‘Best of The Best’ pada tahun ini.

Hadir selaku tetamu kehormat dan seterusnya menyempurnakan penyampaian hadiah pada pertandingan tersebut ialah isteri Penolong Pegawai Daerah Belait, Pengiran Hajah Faridah binti Pengiran Haji Mohammad.

Pengerusi WI cawangan Belait, Hajah Julia binti Chee, dalam ucapan alu-aluannya berkata, pertandingan tersebut telah diadakan sebanyak 17 kali sejak tahun 1987 dan sehingga kini terus diminati.

Menurutnya lagi, pertandingan itu juga terus mencabar dengan kemasukan bermacam-macam jenis kucing, selain semakin banyak kucing-kucing cantik, besar, kacukan dan sebagainya dipertandingkan.

Pada pertandingan itu, Media Permata telah berkesempatan untuk menemu bual pemilik Martin, Dayang Faridah binti Abdullah, 60, yang berkata bahawa beliau telah gemar memelihara kucing sejak berusia 10 tahun lagi dan kini mempunyai lebih 40 ekor kucing luar negara.

Nama Dayang Faridah juga memang sudah tidak asing lagi dalam pertandingan berkenaan, kerana telah menyertainya sejak tahun 2001 lagi.

Dalam pertandingan tahun ini, beliau bersama suaminya, Awang Mohd Yusof bin Abdullah dan anaknya, Awang Johari bin Mohd Yusof telah mempertandingkan empat ekor daripada kucing-kucing peliharaan mereka, masing-masing dalam kategori kucing Parsi dan Berkebiri, iaitu Jack, Handsome, Zaron dan Martin.

Dayang Faridah yang berasal dari Thailand memberitahu, antara kucing peliharaannya adalah jenis Parsi, British Short Hair, Scottish Four dan Maine Coon yang didatangkan dari Jerman, Jepun dan Australia.

Bercakap mengenai Martin, beliau berkata ia merupakan kucing tertua yang dimilikinya pada masa ini dengan usia 13 tahun, dan Jack, 6, merupakan anak Martin yang memang berbadan besar dan berbulu cantik, serta memerlukan penjagaan rapi.

“Kucing jenis Maine Coon, mempunyai bulu yang panjang, dan perlu sering disikat untuk mengelakkan daripada kusut, dan memandikannya setiap minggu, serta memotong kuku mereka.

“Paling penting ialah mesti sentiasa diberikan kasih sayang dan meluangkan masa bersama mereka,” kata Dayang Faridah.

Beliau juga mengongsikan, untuk memelihara binatang peliharaan termasuklah kucing, perlulah dengan kasih sayang, selain menjaga kesihatan dan makanan mereka, serta memberikan suntikan menghindari daripada jangkitan penyakit setiap tahun.

“Pemberian vitamin setiap hari untuk kecantikan bulu dan juga kalsium, turut saya lakukan kepada semua kucing peliharaan saya, dan dalam sebulan perbelanjaan dianggarkan lebih $1,000 dan perbelanjaan akan bertambah jika kucing sakit untuk mendapatkan rawatan doktor swasta,” tambahnya.

Beliau juga menceritakan, bagaimana dia akan bersedih jika kematian kucingnya terutamanya yang amat digemarinya, seperti rasa seorang ibu kepada anak-anak, Dayang Faridah akan merasa satu kehilangan dan untuk menunjukkan rasa kasih sayangnya itu, kucing yang mati dikuburkan dengan sempurnanya.

“Saya juga ingin berpesan kepada penggemar-penggemar kucing, supaya memastikan kucing mereka sihat sebelum dikahwinkan untuk mendapatkan benih, dan semasa mengandung ibu kucing perlu sentiasa diberikan vitamin dan suplemen, dan kadang-kadang ada ibu kucing yang tidak pandai menjaga anak sendiri, dan kita perlu membantu menjaganya dengan memberikan susu dan sebagainya,” katanya.

Selain itu beliau turut berpesan kepada mereka yang baru hendak belajar memelihara kucing supaya jangan membeli yang mahal dulu, kerana dikhuatiri mati, tetapi mencuba memelihara yang biasa saja, kerana jika dijaga dengan baik dan betul, kucing biasa juga akan boleh menjadi kucing yang cantik.

Setakat ini, Dayang Faridah mempunyai tiga orang pembantu untuk sama-sama menjaga kesemua kucingnya yang turut disediakan rumah kucing yang lengkap dengan penyaman udara.

Malah, anak-anaknya seramai enam orang dan suaminya juga semuanya sangat menyayangi kucing peliharaan mereka itu, dan menurutnya, adalah penting semua keluarga menyayangi binatang peliharaan, kerana kasih sayang dapat diberikan bersama.

ARTIKEL YANG SAMA